Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan mahkamah selepas diperintah membela diri atas pertuduhan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kes pecah amanah yang dihadapi Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai lagi terang bersuluh.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, jejak wang jelas menunjukkan dana masuk ke dalam akaunnya termasuk beliau menggunakan wang itu untuk membeli unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) atas namanya sendiri.

“Malah, kes Syed Saddiq lebih jelas berbanding kes Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau turut membandingkan kes Syed Saddiq dengan kes SRC International yang mana Najib tidak pernah meminta atau mengarahkan wang itu dipindahkan ke akaunnya namun perkara itu dilakukan oleh Syed Saddiq.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menjelaskan, mahkamah diberitahu bahawa Syed Saddiq secara peribadi mengarahkan bendaharinya untuk mengeluarkan wang tersebut.

“Najib tidak pernah menguruskan akaunnya sendiri manakala Syed Saddiq melakukannya termasuk memasukkan sebahagian daripada wang itu ke dalam akaun ASB sendiri.

“Manakala Najib tak guna wang itu untuk peribadi tetapi hakim kata ia bukan hak Najib untuk sedekahkan dana tersebut,” katanya.

Menurut beliau, Syed Saddiq juga meminta RM900k daripada wang tunai RM1 juta itu ‘diclearkan’ selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan.

Katanya lagi, Najib juga tidak pernah menggunakan ibunya atau mana-mana ahli keluarga sebagai alasan.

“Tetapi Syed Saddiq menggunakan ibu bapanya sendiri untuk berbohong bahawa wang tunai RM250,000 yang dia hilang datang daripada mereka, kononnya untuk pengubahsuaian rumah yang belum dibeli.

“Begitu jelas sehingga pihak pendakwa dapat menutup kes dengan begitu laju,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan melibatkan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan harta untuk diri sendiri serta dua pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette