PH TH
Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa diminta menyangkal dakwaan Pakatan Harapan (PH) telah ‘menjahanamkan’ Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga kerajaan terpaksa menyelamatkannya dengan dana hampir RM20 bilion.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), antara hasutan dan fitnah utama yang disebarkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli adalah TH bakal bankrap.

Menurut beliau, atas sebab itu, kerajaan mendakwa Rafizi di mahkamah atas tuduhan fitnah jenayah disebabkan kerosakan yang dilakukannya terhadap TH amat besar.

“Setelah perbicaraan, mahkamah telah mendapati ada kes prima facie terhadap Rafizi dan dia diarahkan bela diri.

“Namun bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas selamatkan dia sebab kes digugurkan dan ditarik balik oleh Pejabat Peguam Negara pada hari pertama Rafizi patut membela diri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib menambah, ketika itu juga, kerajaan PH telah meneruskan propaganda yang bermula pada 2015 oleh Rafizi kononnya TH dalam keadaan bahaya.

Beliau memberitahu, mereka mendakwa kononnya TH sedang dalam keadaan kritikal dengan defisit RM4.1 bilion pada 2017 dan kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) menipu akaun dan melanggar Akta TH sebab terlebih bayar hibah kepada pendeposit.

“Ramai pendeposit pun keluarkan duit sebab tertipu bahawa TH dalam bahaya. Masa itu, 52 peratus daripada nilai aset TH sebanyak RM70 bilion dilabur dalam pasaran saham Malaysia.

“Biarpun Bursa Malaysia sudah menjunam teruk sejurus selepas PRU14, TH masih perlu menjual saham-saham miliknya bagi menampung keperluan wang tunai untuk menunaikan pengeluaran beramai-ramai pendeposit yang panik,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, lebih banyak pendeposit keluar duit, lebih banyak saham perlu dijual TH dan lebih rendah nilai saham-saham milik TH.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan TH mengalami kerugian sehingga RM20 bilion dan memaksa kerajaan PH untuk menyelamatkannya dengan nilai RM19.9 bilion.

Katanya, sebuah syarikat bernama Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. milik penuh Kementerian Kewangan mengambil aset TH dengan menjamin akan membayar RM19.9 bilion kepada TH.

“Tak pernah sekalipun sesiapa dari PH pernah jawab kenapa tuduhan defisit RM4.1 bilion tiba-tiba perlu bail-out RM19.9 bilion,” katanya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, PH juga berulang kali menolak dan mengelak daripada menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu TH seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU-14 mereka.

“Lagi lawak ialah tiada seorang akauntan, juruaudit, pengurusan ataupun mana-mana pemimpin BN pernah didakwa menipu atau memalsukan akaun atau melanggar akta TH sehingga kini.

“Masalah yang dibuat PH. Kerugian RM19.9 bilion yang dibuat PH. Kerajaan PH pula kena bail out TH dengan nilai RM19.9 bilion.

“Masa itu, takde siapa dari PH pula kecam kerajaan kenapa wang rakyat digunakan untuk bail-out TH,” jelasnya.

Beliau menambah, akibatnya, hibah TH yang tinggi sepanjang masa BN memerintah jatuh ke 1.25 peratus dan 3 peratus ketika zaman PH dan sehingga kini, ia tidak pernah pulih ke tahap sebelum PRU14. – MalaysiaGazette