BERA – Rata-rata pengundi muda mengakui teruja mereka akan melaksanakan tanggungjawab mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Menerusi pertambahan bilangan pengundi, golongan muda ini boleh jadi penentu dalam pilihan raya.
“Excited (teruja) sebenarnya sebab dapat mengundi,” kata Muhammad Aidil Ikhwan Rozaidi, 19 dari Felda Bukit Puchong.
Ketika ditemui MalaysiaGazette, remaja itu menjelaskan, beliau mahu mengguna kuasa pengundi bagi memilih wakil rakyat supaya lebih banyak pembangunan dan penambahbaikan dapat dijalankan.
“Kepada semua pengundi muda yang boleh mula mengundi nanti, keluarlah mengundi. Kita rebut peluang ini untuk pilih pihak yang betul bagi banyak kebaikan kepada diri kita sendiri,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shahrizal Mohd Rosli, 25 dari Felda Mengkuang memberitahu, beliau dan isterinya sentiasa cakna dengan perkembangan politik tanah air akhir-akhir ini.
“Rasa takut juga sebab ini kali pertama kita boleh buat pilihan, dengan sekarang ni dunia tak stabil. Malaysia pun huru hara dengan politik.
“Tapi, kita tahu serba sedikit berkenaan perkembangan politik melalui media sosial. Kempen pun belum mula kan. Jadi info di media sosial lah banyak mempengaruhi kita,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shahrizal Mohd Rosli mengakui turut merujuk pandangan orang lebih berusia untuk membuat keputusan.
“Cuma saya harap tak banyak manifesto yang mereka (calon) janjikan kepada rakyat, supaya rakyat tidak terlalu mengharap,” ujarnya.
Berbeza dengan Muhammad Shahrizal, Sakilayen a/p Daharan, 32, dari Kampung Durian Kuning pula sudah membuat keputusan dan yakin dengan pilihannya.
Teruja layak mengundi buat kali pertama pada pilihan raya kali ini, wanita berketurunan Orang Asli ini menjelaskan banyak pembaharuan diberikan kerajaan kepada pembangunan di kampungnya sejak dahulu.
“Daripada dulu kampung saya tiada jalan. Dia beri jalan. Daripada tiada elektrik, dia bantu, hantar elektrik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sakilayen turut menyeru semua pengundi muda yang bakal mengundi buat pertama kali sepertinya supaya membuat pilihan dengan bijaksana.
“Pilih lah kerajaan yang betul-betul boleh bantu rakyat, ekonomi dan negara”, katanya.
Setelah pindaan Undi 18 diwartakan di Parlimen Disember lalu, kewujudan sejumlah 1.14 juta pengundi berusia 18 tahun pasti memberi impak besar pada Pilihan Raya Umum kali ini.
Selain kumpulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan terdapat seramai 4,614,429 pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun. – MalaysiaGazette