KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mencuri perhatian netizen apabila memuat naik satu hantaran di media sosial memaparkan pemandangan beliau dalam kapal terbang.
Lebih syahdu, hantaran itu juga diiringi lagu ‘Selamat Tinggal Penderitaan’ dendangan kumpulan Iklim yang seolah-olah membayangkan perasaan sedih dan kecewa pengendali kelahiran Singapura itu.
“Terima kasih atas kesakitan, yang telah kau berikan kerana itu penghinaan juga,” tulis hantaran itu.
Sebelum ini, beberapa laporan mengatakan Kedah berdepan pelbagai cabaran dengan isu kewangan dikatakan antara halangan tersebut.
Bagaimanapun, sumbangan Aidil Sharin selama empat musim bersama skuad Sang Kenari tidak boleh dipersoalkan selepas dia berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sebanyak dua musim.
Kejayaan beliau untuk menjulang trofi Piala FA 2019 dilihat sebagai kenangan manis buat skuad Sang Kenari berikutan kekurangan kejayaan ketika ini.
Meskipun dikatakan pendekatan taktikalnya sudah tidak relevan dengan landskap bola sepak tempatan, segelintir penyokong masih berasakan kehadirannya membantu pasukan. – MalaysiaGazette