Keadaan kereta dinaiki tiga beranak, termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 216 Lebuh Raya PLUS arah utara berhampiran – Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang pemandu lori direman tiga hari bagi membantu siasatan kemalangan maut tiga beranak di Kilometer 216, Lebuh Raya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, Melaka semalam.

Perintah reman sehingga Isnin ini terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Syarina Shaarani@Tan di Kompleks Mahkamah Melaka Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000.

Terdahulu suspek berpakaian lokap tiba di pekarangan kompleks mahkamah diiringi anggota polis pada jam 9.50 pagi menaiki kenderaan polis.

Dalam kejadian semalam, pasangan suami isteri termasuk bayi lelaki mereka berusia setahun maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori dipercayai diletakkan di lorong paling kanan lebuh raya berkenaan.

Mangsa, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi dan Zubaidah Abd Rajak, masing-masing berumur 28 tahun, dan bayi, Muhammad Rizqi,1 , meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira jam 11 pagi itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan dikatakan meletakkan kenderaan di lorong paling kanan lebuhraya.

Tindakan itu menimbulkan halangan lalu lintas sehingga mengakibatkan kemalangan dan kematian. – MalaysiaGazette.