Aminuddin Harun

NILAI – Pengerusi PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui beliau dan dua calon baharu yang dipilih bertanding di tiga kerusi Parlimen negeri ini berdepan tugas getir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Port Dickson menggantikan penyandang Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala setiausaha akhbarnya Nor Azman Mohamad bertanding di Kuala Pilah.

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha yang dipilih untuk bertanding di Rembau, berkemungkinan berdepan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Parlimen itu yang kini disandang Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Aminuddin berkata beliau tetap yakin barisan baharu calon PKR pada pilihan raya kali ini mempunyai kekuatan tersendiri bagi memenangi kerusi yang ditandingi.

“Memang getir, kita tahu dalam suasana politik hari ini… saya percaya kita masih ada peluang di tiga-tiga kawasan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan di Karnival Kerjaya ‘Moh Chagi Kojo’ di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata gabungan itu mampu mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU14 dan optimis PH dapat memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini.

PH turut menyenaraikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin, masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dan Rasah.

Amanah pula akan mengumumkan tiga calonnya pada PRU15 secara rasmi esok, di Wisma Amanah di ibu negara bagi kerusi Jelebu, Jempol dan Tampin.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast