DAP
Wong Tack (kanan) dan Charles Santiago.

KEPUTUSAN DAP menggugurkan dua nama besar iaitu Wong Tack dan Charles Santiago daripada barisan calon-calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memang amat mengejutkan.

Wong yang terkenal sebagai aktivis anti-Lynas membuat kejutan sebagai giant-killer pada PRU-14 setelah menewaskan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di kerusi Parlimen Bentong dengan majoriti kecil 2,032 undi.

Namun, kempen anti-Lynas yang digerakkan oleh Wong dan beberapa pemimpin PH yang lain termasuk Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh akhirnya menjadi sia-sia apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji untuk menutup kilang memproses nadir bumi milik Lynas di Gebeng, Kuantan.

Setelah DAP memutuskan untuk mencalonkan pemimpin muda yang popular, Young Syefura Othman di Bentong, Wong mengambil tindakan drastik dengan mengumumkan akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sebagai calon Bebas.

Charles pula menyatakan, DAP tidak pernah memberitahunya bahawa penggal ini merupakan yang terakhir beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Klang.

Sebelum ini, beliau memenangi kerusi tersebut pada PRU-13 dan PRU-14 dengan majoriti lebih 20,000 undi mengatasi calon-calon Barisan Nasional (BN).

Maka, tidak hairanlah ramai yang menyangka Charles akan dicalonkan semula berikutan rekod prestasinya yang baik sebagai wakil rakyat di Klang.

Namun, jangkaan itu meleset apabila tempatnya bakal diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V. Ganabatirau.

Berbeza dengan kebanyakan pemimpin DAP yang lain, Wong dan Charles lebih dikenali sebagai aktivis yang memperjuangkan isu-isu berkaitan masalah yang dihadapi rakyat.

Wong dan Charles sangat disenangi oleh masyarakat setempat sehingga ramai yang membantah tindakan DAP menggugurkan nama kedua-dua pemimpin itu.

Tidak mustahil perkembangan ini boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP kehilangan dua kerusi tersebut akibat protes daripada pengundi yang menyokong Wong dan Charles.

Seperti yang dijelaskan oleh Charles sendiri, beliau menyertai politik semata-mata untuk memperjuangkan agenda rakyat dan membawa suara mereka yang tidak mampu bercakap bagi diri mereka sendiri.

Begitu juga dengan Wong yang menegaskan bahawa beliau tidak berminat dengan permainan politik parti dan percaya bahawa politik adalah semata-mata untuk rakyat.

Wong dan Charles senada apabila menyatakan bahawa mereka tidak menyertai mana-mana puak dalam DAP sekaligus membangkitkan persoalan sama ada kedua-duanya digugurkan kerana tidak berada dalam pasukan yang sama dengan pucuk pimpinan parti.

Kedua-dua tokoh itu tidak berada dalam barisan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang baharu diketuai Pengerusinya, Lim Guan Eng.

Mungkin DAP ada strategi tersendiri di peringkat nasional walaupun keputusan menggugurkan Wong dan Charles mungkin menyebabkan Bentong dan Klang kembali ke tangan BN pada PRU-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast