KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kesal dengan tindakan pihak lawan yang memutarbelitkan kenyataan beliau berhubung isu rasuah dalam wawancara bersama Astro Awani kelmarin.
Menurut beliau, video propaganda tidak bermaruah yang tular dalam media sosial ketika ini hanya memaparkan perenggan pertama yang berbunyi, “Pertama sekali, sebagaimana yang saya perkatakan, UMNO bukanlah sebuah parti yang sempurna, kita juga berada dalam dunia yang tidak sempurna. Kalau kita mengharapkan sesuatu yang ideal, negara kita tidak ada langsung rasuah, semuanya bersih, itu kiamat tandanya.”
Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) memberitahu, perenggan kedua yang menyusul selepas itu dipotong supaya fitnah boleh diluncurkan untuk membuat pembunuhan karakter ke atas beliau dan UMNO.
“Tugas saya untuk menyampaikan. Tugas saya juga untuk memperbetulkan persepsi-persepsi serangan liar yang dibuat oleh pihak-pihak ini. Saudara-saudari boleh tonton untuk semak semula.
“Walaupun terkilan, saya maafkan perbuatan pihak-pihak ini. Saya mendoakan supaya mereka diberikan Allah hidayah dan pengampunan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Perenggan kedua yang dipotong dalam rakaman video yang tular adalah seperti berikut: “Tetapi realitinya, apa yang harus kita lakukan, pastikan, tidak adanya ketirisan ini, rasuah ini dapat dimininumkan ke tahap yang paling minima, bagaimana sistemnya, urus tadbirnya, ketelusannya, strukturalnya dan sistem nilai yang harus ditanam dari awal, macam mana saya katakan tadi, UMNO tidak boleh dinafikan jasanya. Tetapikan UMNO inikan parti yang begitu berakar umbi, begitu besar, di dalamnya macam-macam. Takkanlah sepuluh kebaikan tiba-tiba ada satu kesalahan, kita hanya menonjolkan satu kesalahan. Walhal sembilan kebaikan itu bermanfaat dan mempunyai maslahah lebih besar. Sebab itu dalam Islam pun, bila kita bincangkan soal masalah, manfaat dan juga mudarat. Kita sentiasa kena ada perimbangan, tidak adanya semua berada dalam keadaan sempurna dan realitinya semuanya nampak cantik. Jadi macam mana kita nak pastikan maslahah itu lebih besar dari kemudaratan yang kita harus kurangkan.”
Asyraf Wajdi menambah, beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa manusia hidup di dalam sebuah dunia yang tidak sempurna dan Allah SWT memang menjadikan dunia sebagai pentas ujian yang wujudnya dosa dan pahala.
“Sebab itulah kita harus sentiasa berusaha untuk menuju ke arah kesempurnaan dengan memperbanyakkan kebaikan dan mengurangkan dosa dan kerosakan termasuklah gejala rasuah yang menjahanamkan sesebuah negara,” jelasnya.
Beliau turut mendoakan supaya propaganda-propaganda bejat seperti itu tidak akan menjadi bahan-bahan kempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Jika ia berterusan, ia menunjukkan realiti sikap dan sifat jati diri lawan,” katanya. – MalaysiaGazette