Khazanah PH aset
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. mencatatkan kerugian operasi yang amat besar iaitu sebanyak RM6.3 bilion pada 2018 akibat ketidakcekapan kerajaan dan ekonomi yang teruk selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, kerugian tersebut merupakan yang pertama dialami Khazanah sejak 2005.

Menurut beliau, pada 2018, nilai aset bersih Khazanah juga jatuh sehingga RM25 bilion.

“Namun Khazanah kembali untung pada 2019 kemudiannya akibat penjualan aset secara lambak.

“Untuk 2019 adalah RM7.36 bilion iaitu paling tinggi dalam sejarah tetapi berpunca dari pelupusan aset-aset bernilai berpuluh bilion yang membawa hasil sebanyak RM9.1 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberi perbandingan antara prestasi Temasek Holdings iaitu dana kekayaan berdaulat kerajaan Singapura dan Khazanah.

Beliau memberitahu, nilai aset bersih Temasek naik 48.7 peratus dari S$185 bilion ke S$275 bilion manakala nilai aset bersih Khazanah naik 262.5 peratus dari RM32 bilion ke RM116 bilion dari 2008 ke 2017.

Katanya, kadar kenaikan Khazanah hampir enam kali ganda lebih laju berbanding Temasek itu berlaku semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan pengerusi Khazanah akibat ekonomi negara yang mantap serta hubungan antarabangsa yang semakin baik yang membuka jalan bagi Khazanah melabur di China (Alibaba), Singapura (Marina Bay, projek Duo, Shopee) dan Amerika Syarikat (AS).

“Namun selepas PRU-14 di bawah Gagalkrasi PH, nilai aset Khazanah jatuh 34.5% dari RM116 bilion ke RM76 bilion pada ketika nilai aset Temasek terus naik 13.8% ke S$313 bilion.

“Negara jiran melonjak naik, kita menjunam teruk pula,” jelasnya.

Beliau berkata, sehingga kini, nilai aset bersih Khazanah masih belum memulih ke paras sebelum PRU-14. – MalaysiaGazette