Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN telah mengadakan satu Mesyuarat Khas di Jakarta, Indonesia bagi membincangkan hala tuju pendekatan ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar pada 27 Oktober 2022 lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri, Datuk Norman Muhamad telah menggantikannya bagi menghadiri mesyuarat berkenaan  yang membincangkan isu berkaitan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

“Semasa mesyuarat khas tersebut, Malaysia telah mengulangi pendirian supaya ASEAN mengemukakan satu kerangka bagi memastikan pelaksanaan 5PC dengan satu matlamat akhir yang lebih jelas iaitu Myanmar yang demokratik, inklusif, adil, aman harmoni serta makmur di mana hak-hak sivil dan politik dijamin Perlembagaan.

“Malaysia juga menekankan pendirian supaya tidak ada wakil politik dari Myanmar diundang menghadiri mana-mana Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN iaitu disamping Sidang Kemuncak ASEAN.

“Bagi ke arah menggalakkan dialog konstruktif antara semua pihak yang berkaitan, Malaysia telah mencadangkan agar ASEAN mengadakan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan Negara (NUG), Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) dan pihak-pihak berkepentingan lain,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Indera Mahkota hari ini.

Jelas Saifuddin, bagi menambahbaik usaha-usaha bantuan kemanusiaan, Malaysia telah mengesyorkan ASEAN untuk mempertimbangkan Forum Pendanaan Kemanusiaan Inklusif seperti yang dicadangkan oleh NUG untuk menyokong usaha ASEAN dalam bantuan kemanusiaan ke Myanmar.

Di samping itu, Malaysia juga mencadangkan agar ASEAN mengkaji semula kerjasama Pasukan Petugas Bantuan Kemanusiaan Myanmar supaya turut bekerjasama dengan badan-badan tempatan dan antarabangsa.

Saifuddin berkata, pelbagai cadangan telah dikemukakan semasa mesyuarat khas tersebut.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk bertemu semula bagi mengemukakan cadangan untuk pertimbangan pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak Ke-40 dan Ke-41 yang dijadualkan pada 11 November ini di P Phnom Penh. – MalaysiaGazette