Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang, di sini, hari ini.

KUANTAN – Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas jawatan Perdana Menyeri pada 22 Ogos tahun lalu semakin sebati dengan rakyat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, konsep ini melambangkan keteguhan negara yang berlatarkan pelbagai agama dan bangsa serta bersifat inklusif, dilengkapi nilai institusi kekeluargaan yang sentiasa berperanan membela nasib dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir.

Beliau menzahirkan rasa gembira melihat Keluarga Malaysia di negeri ini mampu hidup secara harmoni dan saling membantu antara satu sama lain seperti sebuah keluarga, ibarat “lemah menapis, condong menopang.”

”Saya yakin dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, kita bukan sahaja dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

”Amalan ini juga selari dengan nilai tasamuh atau toleransi yang menjadi acuan dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat majmuk seperti yang saya ingin terapkan dalam diri seluruh Keluarga Malaysia.

”Nilai tasamuh yang dituntut dalam Islam ini, bukan sahaja membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati tetapi juga dapat mengelakkan daripada sebarang perbalahan yang sia-sia,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang, di sini, hari ini.

Perdana Menteri menambah, kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus kerajaan membolehkan Malaysia terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara.

Pada hari ini, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun 2022.

Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh dan kadar pengangguran pada bulan Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus.

Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia.

Menurut beliau, kdar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan September 2022 berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022, lebih rendah berbanding negara serantau dan negara lain.

”Bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

”Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan LPG sebanyak RM41.7 bilion; subsidi minyak masak paket 1 kg dan minyak botol sebanyak RM3.0 bilion; subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion; bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, JAKM di Pahang ini yang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU-15 yang akan berlangsung pada 19 November ini. – MalaysiaGazette