KUALA LUMPUR – Seperti jangkaan, penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa telah ‘digugurkan’ menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Sebaliknya, kerusi Parlimen Sungai Buloh itu di gantikan oleh Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R Ramanan ketika majlis pengumuman calon-calon PKR di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini malam tadi.
Ada desas desus dari awal yang mengatakan nama Sivarasa yang juga Ketua Cabang Sungai Buloh itu akan digugurkan bersama beberapa penyandang lain dengan dakwaaan mereka ini pernah dikaitkan dengan kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
MalaysiaGazette yang sempat bercakap dengan Ramanan yang juga merupakan cucu kepada Tan Sri Devaki Krishnan berkata, beliau berterima kasih serta bersyukur dengan pengiktirafan ini.
“Apa lagi yang boleh saya ucapkan selain penghargaan tidak terhingga terutamanya kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta yang lain-lain termasuklah akar umbi yang sentiasa menyokong dan memberi motivasi kepada saya selama ini.
“Ini adalah satu penghargaan yang tidak ternilai dan tidak kira apa jua cabaran sekalipun, saya akan lawan sehingga ke saat akhir bagi memastikan bukan sahaja kemenangan kepada kerusi ini sebaliknya juga memikul mandat masyarakat Sungai Buloh dengan sehabis baik,” ujarnya ringkas.
Untuk makluman, Ramanan yang sebelum ini Timbalan Pengarah Strategi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) merupakan graduan Universiti Teknologi Queensland, Australia selain juga menimba pengalaman di Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali ke Malaysia.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh juga boleh dijangka sebagai ‘hot seat’ kerana MalaysiaGazette difahamkan selain calon MIC bertanding di situ, seorang lagi yang menjadi sebutan ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Selain Sivarasa, antara penyandang yang tergugur kali ini termasuklah penyandang Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul Ghani dan Jun Low.
Anwar ketika berucap pada majlis pengumuman calon itu turut mengingatkan mana-mana pemimpin yang tidak dinamakan untuk bertanding kali ini supaya ingat perjuangan asal PKR dan jangan khianat dengan parti.
“Dalam proses pemilihan itu, ada yang terpaksa kita gugurkan, terutama beberapanya yang sudah memberi sumbangan. Demikianlah hukum alam, mesti ada peralihan. Tidak boleh orang sama kekal bertanding sampai bila-bila.
“Yang tidak mendapat tempat, ingat sumpah keramat kita. Kita berjuang bukan kerana mahu menjadi calon, tapi membela nasib rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette