Mohd Rafiq Naizamohideen

MELAKA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti, sekali gus melepaskan semua jawatannya berkuatkuasa serta merta.

Tindakannya itu, menurut Mohd Rafiq, susulan namanya tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun pada peringkal awal beliau dimaklumkan bertanding di kerusi berkenaan oleh pucuk pimpinan tertinggi

“Namun demikian, beberapa hari lepas, saya telah dihubungi Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen Tangga Batu, sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif di luar Melaka.

“Ia termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Surat rasmi peletakan jawatan juga sudah diserahkan kepada Presiden PN beberapa hari lalu,” katanya pada sidang media di Hotel Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Rafiq, beliau sedih dan terkilan apabila segala usaha dan khidmat baktinya di Parlimen Tangga Batu selama lebih enam tahun sejak 2016 tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

“Tambahan pula, menjadi amalan dan tradisi bagi mana-mana parti politik di negara ini untuk memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti Naib Presiden parti untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya.

“Dalam konteks ini, saya merasakan struktur parti tidak lagi dihormati dan setelah memikirkan secara mendalam dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan, ahli-ahli parti serta keluarga saya, maka, dengan ini saya ingin mengumumkan peletakan jawatan.

“Saya melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu, Ketua Bersatu Cawangan Cheng dan juga pemberhentian sebagai Ahli Bersatu Seumur Hidup berkuatkuasa serta merta,” katanya.

Ditanya adakah beliau bersedia menerima lamaran parti lain sekiranya ditawarkan pada kerusi sama atau bertanding atas tiket Bebas, bekas Pengerusi PN Melaka itu berkata, beliau tidak berminat.

“Selepas ini, saya akan memberi tumpuan kepada isteri, anak-anak dan keluarga saya yang telah banyak memberi sokongan moral dan bekorban masa dalam memahami tugas-tugas saya sebagai ahli politik sebelum ini.

“Walaupun saya tidak bertanding pada PRU15 ini, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan dan khidmat bakti kami menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tangga Batu, peringkat negeri dan nasional,” ujarnya.

Pada 26 November lalu, Mohd. Rafiq, 36, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkuat kuasa serta-merta.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu, beliau tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam persaingan empat penjuru membabitkan Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Minghat (Pakatan Harapan) dan calon bebas, Ariff Adly.

Abdul Razak berjaya merampas kerusi Telok Mas daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undi. – MalaysiaGazette.