Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menyelesaikan isu kontroversi melibatkan jawatan presiden parti itu sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang menegaskan beliau sebagai presiden PBM yang sah berkata, isu tersebut akan diselesaikan secara dalaman.

“Segala isu presiden parti akan diselesaikan pada 5 November ini sebelum hari penamaan calon.

“Isu ini akan diselesaikan secara dalaman dalam satu mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas PBM di sini hari ini.

Diminta mengulas kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini yang mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengulangi isu itu akan diselesaikan secara dalaman.

Ditanya siapa yang memberi arahan parti ketika ini sama ada beliau atau Larry, Zuraida menegaskan, tiada arahan sebaliknya isu parti akan diselesaikan secara bersama.

Beliau berkata, isu watikah calon PBM juga akan diselesaikan secara dalaman.

Sementara itu, Zuraida turut mengumumkan PBM akan bertanding secara solo dan tidak bergabung dengan mana-mana pakatan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PBM hanya menumpukan kepada enam kerusi Parlimen yang disandang ketika ini.

Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) telah menolak permohonan PBM menjadi rakan komponen sebelum ini, Zuraida berkata, ia tidak direalisasi kerana terdapat dan terma dan syarat yang tidak dipenuhi parti itu.

Dalam pada itu, media hari ini melaporkan RoS mengesahkan Larry masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata, berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

PBM kini dilanda krisis dalaman selepas dua individu termasuk Larry yang juga Ahli Parlimen Julau mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti tersebut.

Khamis lalu Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa Zuraida sebagai presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan PBM pada 7 Oktober lalu.

Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau menegaskan masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod RoS yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.

Semalam, Larry turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Dr Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Dr Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Datuk Chua Lian Chye; Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Khamis lalu, Larry mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat hari ini di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan segera. – MalaysiaGazette