PH majoriti mudah
Anwar Ibrahim

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkempen di Tambun malam tadi dengan penuh yakin menyatakan gabungan pembangkang itu mampu meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan bersandarkan kepada kajian Invoke yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Anwar percaya sekurang-kurangnya 100 kerusi kini ‘dalam tangan’ PH.

Tidak diketahui ‘formula’ apakah yang digunakan oleh Invoke bagi merumuskan kebarangkalian jumlah kerusi yang pasti dimenangi PH. Mungkin hanya Rafizi yang tahu.

Yang pasti, PH akan memasuki PRU15 sebagai penyandang di 89 kerusi Parlimen. DAP menyandang 42 kerusi, PKR 36 kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) 11 kerusi.

Baki 11 lagi kerusi mungkin di kawasan-kawasan Parlimen yang dimenangi calon-calon PH dari PKR pada PRU14 namun ‘hilang’ setelah penyandang-penyandangnya bertukar parti selepas kerajaan PH tumbang pada Mac 2022.

Antaranya Ampang, Gombak, Bandar Tun Razak, Indera Mahkota, Batu Pahat, Saratok, Segamat, Nibong Tebal, Ranau dan Puncak Borneo dianggap oleh PKR sebagai ‘kawasan pengkhianat’.

Sebagai ‘panglima perang tertinggi’ PH, Anwar perlu menunjukkan keyakinan yang tinggi bagi menaikkan semangat jenteranya yang merudum selepas PH kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.

Namun hakikatnya, PH mungkin tidak mampu mempertahankan kesemua 89 kerusi yang disandangnya ketika ini lebih-lebih lagi di kawasan Parlimen yang dahulunya dikuasai Barisan Nasional (BN) seperti Tampin, Kuala Selangor, Temerloh, Ledang, Kangar, Tangga Batu, Sekijang, Pasir Gudang dan Simpang Renggam.

Rakyat di kawasan-kawasan Parlimen tersebut ingin kembali ke pangkuan BN setelah menyedari ‘tembelang’ PH dan kali ini mereka tidak akan mudah lagi diperdayakan dengan janji-janji palsu yang dikitar semula untuk PRU15.

Begitu juga kerusi Parlimen Muar yang disandang sekutu PH iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Sekiranya Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicalonkan semula, tidak mustahil beliau akan kalah kepada calon-calon lain yang tidak dibebankan dengan kes mahkamah.

Anwar seharusnya sedar bahawa PH memasuki ‘medan pertempuran’ PRU15 dalam situasi yang hampir serupa dengan PRN Melaka dan PRN Johor yang mana parti-parti yang menentang BN tidak bersepakat sesama mereka.

Pertembungan banyak penjuru akan memberi kelebihan kepada BN yang memasuki gelanggang sebagai satu pasukan yang lebih tersusun dan mantap di peringkat akar umbinya.

Memandangkan gagasan ‘khemah besar’ untuk menyatukan parti-parti lawan gagal, kebarangkalian untuk BN menang bergaya pada PRU-15 adalah sangat tinggi, sekali gus meranapkan angan-angan PH untuk beroleh majoriti mudah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast