AMPANG – Barisan Nasional (BN) Selangor belum dipanggil oleh pucuk pimpinan berhubung senarai pendek calon Parlimen yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Majlis Presiden BN selepas senarai calon diserahkan pihaknya, sebelum ini.
“Ini kita tunggu daripada pucuk pimpinan. Saya percaya pucuk pimpinan, mereka mungkin sedang mengkaji calon.
“Bila sampai masanya tentulah kita akan dimaklumkan. Itu (Selasa depan), saya wallahu aklam.
“Saya tunggu lah, dia panggil sahaja kita tahulah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, malam ini.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Ampang dan Pelancaran UMNO Siswa Selangor di pekarangan bangunan UMNO Bahagian Ampang.
Hadir sama Pemangku Ketua UMNO Bahagian Ampang dan Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa BN Parlimen Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim; Ketua MCA Bahagian Ampang, Datuk Low Kim Mang dan Ketua MIC Bahagian Ampang, Datuk Muneandy Nalepan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan kesemua calon Parlimen BN bakal diketahui dan diumumkan dalam satu majlis, Selasa depan.
Ketika ditanya tentang pergolakan dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Pakatan Harapan (PH), Noh melihat mereka sesama sendiri pun tidak sependapat dalam soal pemilihan calon antara muka baharu dan penyandang.
“Kita lihat pilihan raya kali ini pembangkang tidak bersetuju sesama sendiri, seolah-olah mereka tidak bersedia.
“Mereka sendiri pun ada pertelagahan. Kerajaan Negeri sendiri tidak berani nak bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebab mereka dapat rasa bahang rakyat khususnya di Selangor nak kembali kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette
silap-silap nama kau pun tiada, Presiden bukan suka sangat dengan kau pun sebsb geng dengan tajudin.