KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tugas menggalas harapan jutaan ahli parti yang ingin melihat gabungan politik itu kembali bangkit selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan sesuatu yang mudah.
Menurut beliau, pelbagai pahit getir dan ranjau duri diharungi satu demi satu sepanjang empat tahun lalu yang sangat menguji ketahanan diri pemimpinnya yang setia.
“Berdepan pengkhianatan, tekanan demi tekanan, kezaliman demi kezaliman namun menganugerahkan sesuatu yang amat berharga kepada kita semua.
“Bahawa kesabaran, kejujuran, keikhlasan dan meyakini ketentuan Ilahi dalam sebuah perjuangan nan luhur bukan sesuatu yang serampangan atau sia-sia,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, kisah itu barangkali cuma sebahagian daripada peristiwa besar perjuangan BN selangkah demi selangkah menggamit kebangkitan selepas 9 Mei 2018.
Beliau menambah, sedangkan yang lebih mustahak adalah tentang kesungguhan dan keyakinan ahli-ahli akar umbi BN yang tidak sesekali mengenal erti mengalah dan berundur.
“Kini PRU-15 menjelang tiba. Ia destinasi yang kita tujui bersama dengan keringat dan semangat membara untuk menebus kebenaran dan kemenangan,” jelasnya.
Ahmad Zahid meminta semua ahli BN agar usah menoleh lagi dan terus melangkah ke hadapan bagi mengangkat semula BN sebagai sebuah kerajaan dominan demi masa depan Malaysia stabil dan makmur.
“Sederap kita mara lebih tangkas, tersusun, sehati sejiwa untuk menyatakan BN adalah pilihan terbaik untuk diyakini oleh rakyat pada 19 November ini.
“Kepada Tuhan Yang Maha Esa jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya. Insya-Allah berkat keazaman bersama kita beroleh kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette