Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai situasi semasa penularan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Malaysia kini berdepan gelombang kecil penularan virus Covid-19 gara-gara mencatat empat empat kes atau 0.02 peratus daripada sub-varian Omicron XBB pada minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes tersebut terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 25 hingga 51 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, semua kes adalah warganegara Malaysia yang dikesan positif Covid-19 melalui survelan penjujukan genom.

“Semua kes adalah kategori dua dengan gelaja demam, batuk, sakit tekak dan selesema. Hanya satu kes merupakan kes jangkitan semula dan kes-kes ini telah menjalani isolasi selama tujuh hari seperti yang diarahkan di dalam MySejahtera.

“Semua kontak rapat juga telah dikenal pasti dan berada dalam keadaan sihat.

“Justeru orang ramai tidak perlu risau walaupun kes semakin meningkat kerana keadaan adalah terkawal,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini Covid-19 di kementerianya di sini hari ini.

Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus iaitu dari 14,525 kes sejak 23 o hingga 27 Oktober lalu kepada 16,917 kes berbanding minggu sebelum itu.

Namun jumlah kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 31 peratus iaitu dari 29 kes kepada 20 kes minggu sebelum itu.

Mengulas lanjut, Khairy menambah, sub-varian XBB merupakan sub-varian Omicron yang telah berkembang daripada sub-varian BA.2 Omicron sedia ada.

Jelas beliau, ia merupakan sub-varian recombinant daripada sub-varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 dengan beberapa mutasi tambahan di spike protein.

Menurutnya, peningkatan bilangan kes baharu serta indikator-indikator utama yang lain adalah dijangkakan susulan pengesanan sub-varian Omicron XBB di Malaysia.

“Ini adalah kerana, sub-varian XBB lebih mudah merebak berbanding sub-varian Omicron yang lain dan dijangka akan menjadi sub-varian dominan menggantikan BA.5 selepas ini.

“Namun, belum ada bukti tentang perubahan dalam kebolehannya untuk menyebabkan penyakit yang lebih teruk,” katanya.

Khairy turut memberitahu Singapura yang berdepan gelombang jangkitan Covid-19 didorong subvarian XBB sebelum dan mengambil masa antara tiga ke empat minggu untuk menurunkan kes jangkitan itu. – MalaysiaGazette