MANILA – Sekurang-kurangnya 98 orang maut dalam ribut tropika Nalgae yang melanda Filipina pada hujung minggu hingga mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di banyak bahagian.
Majlis Pengurusan Risiko Bencana Negara berkata, 58 kematian telah pun disahkan meninggal dunia, manakala identiti 40 yang lain sedang disahkan.
Daripada 63 yang dilaporkan hilang, hanya 25 orang telah disahkan, manakala identiti 38 yang lain masih dalam proses pengesahan.
Agensi itu berkata, 53 kematian adalah dari Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di selatan Filipina.
Kematian selebihnya dari sembilan wilayah di Pulau Luzon, di tengah Filipina, dan kawasan lain di Pulau Mindanao di selatan Filipina di luar BARMM.
Agensi itu berkata, Nalgae menjejaskan lebih 1.8 juta orang penduduk, merosakkan 364 jalan dan 82 jambatan dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di banyak kawasan.
Nalgae ialah taufan tropika ke-16 yang melanda Filipina tahun ini.
Ia melanda Catanduanes, sebuah wilayah pulau di wilayah Bicol, sebelum subuh Sabtu lalu.
Filipina adalah salah satu negara yang paling terdedah kepada bencana di seluruh dunia kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan secara purata, negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setiap tahun. – Agensi