KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengambil iktibar krisis geopolitik serantau termasuk konflik Russia dan Ukraine dengan memperhebat aspek ketenteraan serta pertahanan negara.
Menurut Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, aspek pertahanan dan keselamatan perlu ditambah baik mengambil kira keadaan aset kententeraan sekarang.
“Rakyat khususnya di Sarawak yang sering menyaksikan sendiri insiden pencerobohan negara tertentu termasuk di perairan Laut China Selatan. Dulu Vietnam jauh di belakang berbanding Malaysia tetapi kini mereka mampu membelanjakan sehingga ASD5.5 bilion (RM25.97 bilion) hanya untuk memperkasa keselamatan negara.
“Thailand dan Indonesia apatah lagi. Pandemik Covid-19 bukan alasan kerana masing-masing menyalurkan peruntukan berjumlah ASD7 bilion (RM33.06 bilion) serta ASD125 bilion (RM590.31 bilion) bagi tujuan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Jaziri, semua perbelanjaan itu disalurkan kepada usaha menambah baik aset ketenteraan dan pertahanan bagi memastikan ia kekal relevan dengan senario semasa.
“Malaysia perlu bertindak segera dalam hal ini. Kita sedia tahu keupayaan aset negara berada pada tahap yang tidak memuaskan. Kita perlu pastikan kedaulatan dan keselamatan negara kekal terjamin, jika keadaan serta keupayaan semasa semua aset meragukan,” ujarnya.
Kata Jaziri lagi, semakin kerap berlaku adalah bukti bahawa kerajaan perlu memperkasa aspek keselamatan negara.
“Baru-baru ini kita digemparkan dengan penemuan serpihan roket di Sarawak. Ruang udara kita juga pernah diceroboh pesawat asing, kononnya untuk latihan ketenteraan. Ini belum kita bercakap tentang tuntutan tertentu, saya mohon sedikit ketegasan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette