Pihak penganjur dan penyewa acara jualan bundle telah dipanggil bagi membantu siasatan polis.

SERDANG – Polis telah memanggil penganjur serta penyewa tapak acara jualan pakaian terpakai atau bundle di sebuah pusat beli belah di sini untuk membantu siasatan dakwaan berlaku penipuan.

Ketua Polis Daerah Serdang,  Asisten Komisioner A A Anbalagan telah mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pihak penganjur acara jualan baju terpakai atau bundle yang tular didakwa menipu penyewa tapak  dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Katanya, laporan polis itu diterima daripada seorang wanita warga tempatan yang juga pengurus acara berkenaan berhubung isu penyewa kerana tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan yang mengendalikan acara jualan itu.

“Video yang tular  itu disahkan berlaku di kawasan Serdang yang mana penyewa tidak berpuas hati dengan penganjur dan meminta penganjur mengembalikan duit sewa mereka.

“Pihak penganjur juga telah membuat laporan polis bertujuan rujukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya beliau ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Anbalagan, kedua-dua pihak  telah dipanggil untuk tampil bagi proses merakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut polis.

Pada 29 Oktober lalu, satu acara jualan pakaian bundle dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu telah bertukar kecoh apabila didatangi anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

Difahamkan kekecohan berlaku apabila penyelia tapak dimaklumkan oleh penguat kuasa bahawa pihak penganjur tidak membuat permohonan permit  untuk menganjurkan acara tersebut.

“Kedua-dua pihak iaitu penganjur dan penyewa acara jualan bundle itu telahpun dipanggil untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kes terbabit masih di dalam siasatan pihak polis,” tegasnya.

Dalam kejadian itu, para peniaga bundle mendakwa mereka telah mengalami kerugian hampir RM36,000 berikutan kejadian itu. -MalaysiaGazette