KUALA LUMPUR – Hampir 16,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menanti pencari kerja tempatan di tiga Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Perak dan Selangor pada minggu ini.
Siri Karnival Kerjaya anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan diadakan di Tapah, Perakserta Kuala Selangor dan Hulu Selangor, mendukung matlamat inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia untuk menurunkan kadar pengangguran.
Pelbagai program di bawah inisiatif ini oleh Perkeso berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310,000 orang setakat ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, akan merasmikan Karnival Kerjaya yang akan diadakan di Arena TN50, Tapah, Perak pada
2 November 2022.
Karnival Kerjaya ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp), akan menawarkan lebih 4,000
jawatan kosong.
Sementara itu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengkua Zafrul Tengku Abdul Aziz akan melancarkan Karnival Kerjaya yang akan diadakan di 1 Plaza, Kuala Selangor pada 3 hingga 4 November 2022, yang menyediakan lebih 5,600 peluang pekerjaan.
Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 turut dianjurkan di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali. Hulu Selangor, dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada 3 and 4 Novermber 2022.
Karnival Kerjaya ini akan dirasmikan Senator Datuk T. Mohan, Naib Pengerusi NIOSH pada 3 November 2022 dan menjanjikan lebih 6,000 peluang pekerjaan.
Majikan yang mengambil bahagian dalam siri karnival ini berpeluang untuk menerima insentif dari Program JaminKerja-Insentif Penggajian sehingga RM42,000 bagi setiap pengambilan pekerja dari golongan sasar termasuklah penganggur, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan golongan wanita yang tidak aktif bekerja.
Pencari kerja yang memperoleh pekerjaan pula berpeluang menerima bantuan mobiliti sebanyak RM500 secara one-off.
Karnival ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh demi pembangunan ekonomi yang mampan bagi memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.
Pelbagai aktiviti dan perkhidmatan akan disediakan di karnival ini, termasuk bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs yang menawarkan sebanyak 293,878 jawatan kosong aktif kepada pencari kerja di seluruh negara.
Portal ini turut menyediakan 13,134 jawatan kosong aktif di negeri Perak dan 85,349 kekosongan jawatan aktif di negeri Selangor buat pencari kerja tempatan.
Selain daripada sesi temuduga terbuka, turut diadakan adalah pameran oleh agensi dan penyedia latihan serta peluang mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.
Karnival Kerjaya di Tapah menonjolkan pameran penyedia latihan HRD Corp yang menawarkan latihan pembangunan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Selain itu, para pencari kerja dan pengunjung boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang
ditawarkan di Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti Tapah oleh HRD Corp.
Pencari kerja boleh berkunjung secara “walk-in” ke Karnival Kerjaya di lokasi-lokasi tersebut untuk menyertai sesi temu duga terbuka. Bagaimanapun, mereka digalakkan mendaftar di pautan www.myfuturejobs.gov.my sebelum menghadiri Karnival Kerjaya.
Majikan dari seluruh Malaysia turut dijemput untuk menggajikan pekerja tempatan dan mengambil peluang memohon insentif di bawah Program JaminKerja-Insentif Penggajian. Majikan juga boleh mengiklankan jawatan kosong di Portal MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my ataupun berdaftar di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair sekiranya ingin menyertai Karnival Kerjaya akan datang. – MalaysiaGazette