KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus dijangka tidak diumumkan pada majlis di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.
Menurut sumber, pengumuman calon bagi kerusi tersebut akan dibuat pada tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.
“Difahamkan, rundingan bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus masih dijalankan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kerusi Parlimen Kuala Nerus disandang oleh bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Beliau dikatakan berhasrat untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketika ini, timbul spekulasi Mohd. Khairuddin bakal menyertai BN setelah beliau kerap dilihat membantu kempen parti tersebut di beberapa kawasan Parlimen.
Malam tadi, beliau turut menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi Permatang Buluh di Yan, Kedah bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – MalaysiaGazette