SPR
Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan tarikh Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah adalah pada 5 November 2022 (Sabtu).

Pada Hari Penamaan Calon, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) yang berkenaan oleh pihak-pihak calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU Ke15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum Hari Penamaan Calon.

“Bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

”Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Hari Penamaan Calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.

Tambahnya, penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

SPR juga menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast