Calon PKR P.063 Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada Malam Pengumuman Calon Keadilan di Padang MPAJ, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2022.

SEJARAH nama Tambun berkait rapat dengan industri perlombongan bijih timah di kawasan ini pada satu ketika dahulu.

Kawasan ini dikatakan dibuka dalam tahun 1885 oleh Tok Panjang Osman atau lebih dikenali dengan nama Tok Norman.

Sultan Perak pada ketika itu telah menganugerahkan Tok Panjang Osman sebidang tanah untuk mengusahakan aktiviti perlombongan bijih timah di Ulu Kinta.

Perkataan dan sebutan nama Tambun dikatakan berasal daripada panggilan Orang Asli terhadap kawasan ini yang menjadi longgokan bijih timah.

Oleh kerana kerap dipanggil Tambun maka Tok Norman telah menamakan kawasan ini sebagai Tambun.

Walaupun lebih seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau akan bertanding di kawasan bekas longgokan bijih timah ini, masih ramai pengundi di Tambun yang ‘terkejut’ dengan kehadiran Presiden PKR itu.

Rakyat yang ditemui terutama orang Melayu kehadiran Anwar yang bukan penduduk tempatan dan lahir di sini untuk bertanding dan menjadi wakil mereka di Parlimen disifatkan sebagai satu tindakan aneh.

Secara tradisi wakil rakyat Tambun merupakan anak tempatan dan lahir di kawasan itu.

Hanya anak tempatan yang dirasakan mereka sesuai untuk mewakili mereka di Parlimen kerana lebih tahu isu-isu penduduk setempat.

“Rasa terkejutlah. Anwar bukan orang sini. Walaupun dia popular tapi dia bukan penduduk tempatan.

“Namun itu hak Anwar untuk bertanding di sini. Tiada siapa yang boleh menghalang. Bagaimanapun nasib beliau akan ditentukan oleh penduduk di sini,” kata seorang peniaga pasar malam di Taman Tasik Damai.

Mereka menolak ahli politik yang berpindah randah dari satu kawasan ke satu kawasan setiap kali pilihan raya berlangsung.

Penduduk tidak mahu ahli politik yang berpindah randah mencari kawasan baharu setiap kali pilihan raya kerana berpendapat pemimpin seperti itu bukan jenis setia kepada rakyat yang di kawasan yang diwakilinya.

Seorang pengundi muda berusia 22 tahun yang akan mengundi buat kali pertama turut merasakan kehadiran Anwar di Tambun begitu mengejutkan.

“Terkejutlah sebab dia bukan orang sini tiba dia sampai sini terkejut jugalah saya. Terkejut bila buka Facebook tengok dia bertanding di sini,” katanya.

Pemuda tersebut berkata, dia mengenai Anwar hanya melalui internet dan secara berterus terang berkata, pemimpin Pakatan Harapan itu bukan pilihannya.

Malah rakan-rakan sebayanya juga menurut beliau, tidak akan menjadikan Anwar sebagai pilihan pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Bagaimanapun bukan semua tidak suka dengan kehadiran Anwar di Tambun.

Bagi penyokong Pakatan Harapan berita pencalonan Presiden PKR itu di Tambun sebagai satu bonus kerana tidak menyangka Anwar akan bertanding di sini.

Malah mereka juga berasa bangga bahawa Anwar akan menjadi ‘orang Perak’ pertama sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak sabar untuk mengundi dan memastikan kemenangan Anwar di Tambun. Besar harapan kali ini dia benar-benar menjadi perdana menteri,” katanya.

Apapun persaingan sengit menanti Anwar di Tambun. Setakat artikel ini ditulis Anwar akan berhadapan dengan penyandang kerusi Tambun Datuk Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Perikatan Nasional.

Ahmad Faizal merupakan bekas Menteri Besar Perak dan juga Timbalan Presiden Bersatu.

Beliau menang kerusi Tambun atas tiket Pakatan Harapan dengan jumlah undi 38,661 dan majoriti 5,320.

Ahmad Faizal menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (33,341) dan calon Pas Ibrahim Zakaria (14,948).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Parlimen Tambun mencatakan jumlah pengundi teramai di Perak. Parlimen itu mempunyai dua Dewan Undangan Negeri iaitu Manjoi dan Hulu Kinta.

Tambun yang merupakan kawasan pelancongan yang indah dengan gunung ganang batu kapur yang menghijau dan gua-gua yang mempunyai lukisan prasejarah kaum orang asli akan menyaksikan ‘pertempuran’ yang maha hebat.

Anwar dan pemimpin PH sudah tentu mahu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka lebih-lebih lagi selepas beliau dicanang sebagai perdana menteri ke-10.

Bagaimanapun BN dan PN sudah tentu tidak akan memberikan laluan mudah kepada Anwar.

Apapun, adakah penduduk akan memberikan “kejutan” kepada Anwar pada 20 November ini seperti Anwar memberikan kejutan kepada mereka untuk bertanding di sini?-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast