Calon PKR P.153 Sembrong, Hasni Abas sempena Pilihan Raya Umum ke-15 selepas sidang media mengenai projek LCS, Undi18 dan calon Parlimen Sembrong di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 101 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, kata Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, sehingga semalam, seramai 72 calon di Semenanjung telah diumumkan Jumaat lalu, manakala 10 calon untuk kerusi di Sabah diumumkan semalam oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu.

Menurutnya, baki 16 kerusi yang akan dipertandingkan di Sarawak pula akan diumumkan di Miri kira-kira jam 5 petang ini oleh Anwar.

“Daripada 75 kerusi yang akan ditandingi di Semenanjung, tigakerusi tidak diumumkan pada hari pengumuman calon PKR Jumaat lalu kerana berlaku pertindihan hasil rundingan kerusi.

“Kerusi itu ialah Parlimen Sembrong di Johor, Sungai Siput dan Tapah di Perak. Tiga  kerusi ini telah diperuntukan kepada PKR ketika di akhir proses rundingan kerusi di peringkap Top 4+4 iaitu empat Presiden parti dan empat Ketua Perunding dari setiap parti.

“Dengan itu, Presiden mengumumkan Naib Presiden PKR, K. Saraswathy bertanding di kerusi Tapah, manakala S. Kesavan mempertahankan kerusi Sungai Siput,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Mengenai calon Sembrong, Rafizi berkata, beliau diberi kepercayaan oleh Presiden untuk mengumumkan bekas Perancang Bahasa Kanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hasni Abas sebagai calon kerusi Parlimen itu.

Hasni, lulusan bidang Sastera dan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) lebih dikenali sebagai seorang aktivis bahasa Melayu di kalangan golongan sastera di negara ini.

“Beliau adalah Presiden Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja DBP ketika bertugas di agensi itu dan juga merupakan Pengarah Eksekutif Yayasan Pendidikan Orang Asli Kuala Lumpur serta Setiausaha Agung Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia Kuala Lumpur.

“Hasni juga adalah tokoh nasional dalam bidang sastera dan aktivisme bahasa Melayu,” katanya.

Selain dikenali sebagai seorang penyajak, beliau adalah setiausaha Gerakan Mansuh PPMSI yang berjaya mendorong keputusan kerajaan untuk menghentikan dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Beliau akan menggalas tanggungjawab yang berat untuk menewaskan penyandang kerusi Parlimen Sembong dari UMNO, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pun begitu, kata Rafizi, rekod PKR di parlimen itu amat menggalakkan dengan keupayaan mengurangkan majoriti diperolehi Hishammuddin dari satu PRU ke PRU hingga Sembrong kini menjadi kerusi marginal. – MalaysiaGazette