Akujanji palsu yang dikesan disebarkan di media sosial.

IPOH – Satu akujanji yang disebarkan di media sosial antara lain kononnya calon Barisan Nasional (BN) perlu bersetuju Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai perdana menteri adalah palsu.

Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, akujanji palsu yang tertera namanya itu sengaja disebarkan bertujuan memburukkan UMNO dan Barisan Nasional.

“Disahkan bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar. Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan.

“Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan UMNO Barisan Nasional diketika musim PRU 15 ini,” katanya.

Shamsul Anuar yang akan mempertahankan Parlimen Lenggong pada Pilihan Raya Umum ke-15 melahirkan perasaan kecewa kerana musuh politik UMNO dan BN menggunakan cara kotor itu sebagai kempen pilihan raya.

“Mohon rakyat Malaysia yang mendapat akujanji palsu ini tidak terpengaruh dengannya.

“Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini,” kata Shamsul Anuar.

Beberapa laman sosial yang anti UMNO dan BN dikesan menyebarkan akujanji berkenaan.

Ada kalangan netizen di laman Twitter turut mempersoalkan ketulenan surat tersebut berikutan kesalahan ejaan ‘memenagi’ yang disifatkan sebagai kelakar.

Sementara itu, ada juga yang bertanya adakah Datuk Seri Ismail Sabri turut menandatangani surat akujanji yang mencadangkan Ahmad Zahid sebagai perdana menteri jika menang BN menang PRU kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.