calon BN
Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen BN PRU-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Bekas-bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi masing-masing diingatkan supaya jangan mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika situasi itu berlaku, ia bermakna pemimpin-pemimpin terbabit tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket UMNO dan BN.

Menurut Presiden UMNO itu, kini apabila tibanya masa mereka pula apabila tidak terpilih, mengambil sikap betul, berjiwa besar menerima sebagaimana mereka pernah diberikan peluang belasan dan puluhan dahulu.

Beliau turut mengingatkan mereka agar jangan mencetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj, cuba menutup bilik gerakan dan memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti sendiri.

“Mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan ini menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian.

“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Bantahan mula kedengaran di 10 kerusi Parlimen yang disandang BN selepas Ahmad Zahid mengumumkan muka-muka baharu akan bertanding mewakili parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kerusi-kerusi tersebut adalah Pasir Salak, Tanjung Karang, Ketereh, Kota Tinggi, Tenggara, Arau, Padang Besar, Maran, Kuala Kangsar dan Jempol.

Ahmad Zahid menambah, semua pihak harus sedar bahawa keputusan meletakkan muka-muka baharu adalah sebahagian daripada peremajaan parti dan memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat dan kedudukan sewajarnya untuk memastikan suara dan tidak meminggirkan undi muda bawah 40 tahun.

“Kita perlu menerima hakikat undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi pada PRU-15.

“Maka kita perlu pastikan sayap Puteri dan Pemuda BN berada di landasan yang betul di barisan hadapan, di BN. Sebab itulah misalnya Ketua Puteri UMNO, Ketua Puteri negeri, Pemuda UMNO mengambil tempat dan kedudukan,” jelasnya.

Beliau berkata, BN perlu berubah dan dalam politik, tiada siapa yang tidak boleh digugurkan selama-lamanya tetapi semua individu adalah penting.

Ahmad Zahid berharap mereka yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN manakala yang muda mula mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan.

“Apabila tidak tersenarai bukan maknanya tidak penting akan tetapi tidak selamanya kita menongkat langit maka laluan kepada calon baharu perlu dilakukan kata peribahasa patah tumbuh hilang berganti,” katanya.

Berhubung calon-calon yang dipilih, beliau menyifatkan mereka sebagai yang terbaik dalam kalangan terbaik.

Ahmad Zahid mengakui bahawa proses pemilihan calon bukan mudah kerana banyak pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum memuktamadkan pemilihan.

“Sesungguhnya Top 5 melakukan penyaringan yang terperinci bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan UMNO dan BN.

“Mereka inilah juga antara yang ramai dalam BN yang memenuhi ciri kriteria “WALI” yang kita perlukan untuk memenangi pilihan raya umum pada kali ini, iaitu ciri winnability (boleh menang), acceptability (kebolehterimaan) dan likeability (disenangi),” katanya.

Beliau menambah, tidak mudah membuat keputusan getir namun keputusan tegas, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memulihkan dan menjadi pencetus kebangkitan UMNO dan BN.

Ahmad Zahid berkata, jika UMNO dan BN tidak membuat perubahan sekarang, ia boleh menyebabkan parti ketinggalan ke belakang di kala parti-parti pesaing melakukan perubahan terutama kalangan calon yang bertanding pada pilihan raya umum.

“Suara anak muda sangat penting dan kita perlu mendengar dan memberikan peluang calon-calon baharu untuk bertanding.

“Yang sudah lama menjadi wakil rakyat perlu memberikan peluang suara anak-anak mengambil tempat dan kedudukan,” jelasnya.

Malah, katanya, mereka yang sudah lama bertanding dahulu mereka juga disokong oleh anak-anak muda dan dewasa yang lain.

“Tanpa sokongan ini mereka tidak akan dapat menjadi wakil rakyat untuk berpenggal-penggal lamanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast