Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas Majlis Bertemu Jentera BN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pejabat UMNO Sungai Buloh, Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Khairy Jamaluddin enggan peduli tindakan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang mahu mengkaji semula calon yang diletakkan untuk bersaing dengannya di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, perkara berkenaan merupakan urusan parti itu yang tidak perlu dicampurinya.

Sebaliknya Khairy menegaskan, apa yang penting adalah menggerakkan strateginya demi memastikan Barisan Nasional (BN) menang di kawasan berkenaan.

“Yang penting kita buat kerja kita siapa menjadi calon daripada parti-parti lain itu urusan mereka.

“Kita buat kerja kita. Kita susun kempen dengan baik, yakinkan rakyat dan pengundi Sungai Buloh kita mampu beri perkhidmatan yang baik.

”Soal siapa jadi calon itu, biarlah parti masing-masing tentukannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis perjumpaan bersama jentera BN Sungai Buloh di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.

Baru-baru ini, PKR menamakan Timbalan  Ketua Penerangan parti itu, R Ramanan bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Ia juga merupakan pertandingan pertama buat bekas Bendahari Agung MIC itu dalam pilihan raya.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli semalam berkata, parti itu akan mengkaji semula pemilihan calonnya untuk kerusi tersebut selepas nama Khairy diumumkan.

Sementara itu, Khairy ketika menyampaikan ucapan menyeru jentera BN di Sungai Buloh menjalankan kempen secara gentleman dan beradab.

Beliau mahu kempen dengan menyerang peribadi dijauhi.

“Saya nak pesan, kita kempen secara gentleman dalam kempen, kena ada adab. Dalam kempen kena ada batas. Kita boleh soal prestasi mereka tapi tidak perlu buat serangan peribadi dan sebagainya. Kita nak menang secara sihat.

“Kalau mereka serang kita secara peribadi if they go low we go high. Kita kena menang dengan penuh adab, dengan cara adab, kita kena tunjuk kepada pengundi Sungai Buloh bahawa orang BN baik-baik belaka, yang mampu bawa kemajuan.

“Begitu juga dengan Pas yang akan bertanding, kita gentleman saja dengan Pas tak perlu serang dan jaga disiplin,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast