Ketua Komunikasi BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud yang bertanding di Parlimen Larut bercakap kepada media selepas Pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 Barisan Nasional Perak ketika di Hotel Casuarina, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2022.

IPOH – Ketua Koordinator Komunikasi Barisan Nasional (BN),  Mohd Shafiq Fhadly Mahmud terkejut apabila dicalonkan bertanding di Parlimen Larut bagi menggantikan Datuk Mohd Kazim Elias pada pilihan raya umum ini.

Mohd Shafiq ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, walaupun terkejut beliau berikrar untuk mempertaruhkan perjuangan dan roh parti dalam menyahut cabaran yang digalas ini.

“Pada saya, BN bukan mempertaruhkan Mohd Shafiq Fhadly tetapi memperjuangkan maruah UMNO dan Barisan Nasional di Larut.

“Pada pilihan raya lalu, rakyat memberi mandat kepada BN malangnya mereka dikhianati.

”Jadi inilah masa untuk membuktikan masyarakat masih lagi bersama BN. Saya yakin dan percaya pada 19 November ini penduduk Larut akan menentukan bahawa BN parti terbaik yang menjamin kestabilan dan kemakmuran negara ini,” katanya di sini.

Mohd Shafiq menaruh harapan dan merayu kepada pengundi-pengundi Larut memberinya peluang menjadi wakil mereka.

“Berilah peluang kepada saya untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan saya sebagai calon muda yang akan membawa cita-cita, aspirasi, impian serta perjuangan untuk mengubah Larut menjadi lebih hebat,” katanya sambil memberitahu pencalonan namanya diketahui pagi tadi.

Menurutnya, beliau cuma tahu akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dari awal lagi. Cuma pagi ini apabila Ustaz Khazim membuat keputusan menarik diri, namanya dicalonkan.

Terdahulu, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan perkara itu ketika mengumumkan calon BN di Perak hari ini.

Semalam, pencalonan Ustaz Kazim diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette