KUALA LUMPUR – Selepas diumum menarik diri daripada menjadi calon Parlimen Larut mewakili Barisan Nasional (BN), penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias membuat hantaran di Facebooknya.
Mohd Kazim mengucapkan syukur dan berdoa agar cercaan terhadapnya bertukar menjadi pahala.
“Alhamdulillah Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,” tulisnya ringkas.
Selepas diumum calon parti itu semalam, Kazim dikecam hebat oleh netizen di media sosial yang menganggap beliau tidak layak menjadi pendakwah bebas kerana mewakili parti politik.
Pagi tadi, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Mohd Kazim menarik diri daripada bertanding PRU15.
Namun, Saarani tidak menjelaskan sebab penarikan diri Mohd Kazim.
Jelasnya, penceramah berkenaan membuat keputusan itu pada pukul 1 pagi tadi.
Pencalonannya digantikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud. – MalaysiaGazette