JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah untuk memenangi 16 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad memberi jaminan berkenaan hari ini.
Bagaimanapun parti komponen seperti MCA perlu memainkan peranan untuk sama merebut empat kerusi dan membolehkan BN mencapai sasaran 20 kerusi yang ditetapkan, katanya.
Katanya, sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Johor, pihaknya sudah merangka strategi dalam usaha dalam usaha mencapai sasaran diletakkan parti.
“Ini bukan masalah kerana jentera di setiap Parlimen telah disusun jadual kempen juga telah disiapkan.
“Ini kerana ada kawasan di mana calon kita berdepan calon heavyweight yang bertanding di Johor namun berbekalkan semangat kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, saya dapat lihat memiliki semangat tinggi dan sama-sama berkempen pada PRU15 ini,” katanya demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon BN pada PRU15 di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor.
Semalam Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan memberi sasaran buat BN Johor memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette