KUALA LUMPUR – Kegagalan mencari kemenangan di laman sendiri ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada perlawanan kedua pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022 tidak melunturkan semangat pemain-pemain Negeri Sembilan FC yang sebaliknya masih percaya mereka mampu melangkah jauh dalam kejohanan.
Ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, berasakan pasukan sudah bermain di tahap yang terbaik namun hanya dipisahkan oleh elemen nasib yang tidak menyebelahi mereka.
Malah, dia optimis Negeri Sembilan mampu segera bangkit perbaiki sentuhan penyudah apabila bakal berentap dengan Selangor FC di pentas suku akhir TM Piala Malaysia 2022.
“Pertama sekali saya rasa bersyukur kerana kita layak ke peringkat seterusnya dan terima kasih kepada rakan-rakan yang bekerja sehingga wisel penamat.
“Kita sebenarnya bermain baik untuk perlawanan ini cuma nasib tidak menyebelahi kami untuk jaringkan gol tetapi mujur kami sudah menjaringkan dua gol semasa di Alor Setar.
“Ini berikan kelebihan kepada kita walaupun kita sudah sedaya upaya cuba mendapatkan gol cuma paling penting kami tidak melepaskan sebarang gol bagi layak ke peringkat seterusnya.
“Bagi peringkat seterusnya, sudah tentu laluan semakin sukar namun saya yakin dengan semangat dalam pasukan ini untuk bertemu Selangor.
“Sudah pasti jurulatih (K.Devan) akan melakukan pembaharuan taktikal perbaiki kelemahan dan sesiapa sahaja yang kami temui, semangat pemain akan sentiasa tinggi bagi berikan tentangan,” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan terikat seri tanpa jaringan dengan Kedah namun tetap layak berdasarkan kelebihan agregat 2-1 berdasarkan keputusan perlawanan pertama di Alor Setar.
Peluang terbaik Negeri Sembilan bagi memperolehi jaringan ialah melalui Gustavo Almeida yang gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit 71 apabila bola sekadar mengenai tiang.
Selain itu, kecemerlangan Ifwat Akmal turut menjadi penghalang Negeri Sembilan apabila dia menyelamatkan tiga percubaan berbahaya dengan dua daripadanya melalui Almeida selain Matheus Alves di separuh masa pertama.
Negeri Sembilan bakal bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 6 November sebelum menjadi tuan rumah pada perlawanan kedua suku akhir bertemu Selangor, 12 November ini.
Sementara itu, Zaquan tidak menafikan dia begitu rindukan untuk membawa Negeri Sembilan sekali lagi ke pentas akhir selepas kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 2011.
Dia berasakan segalanya tidak mustahil untuk Negeri Sembilan berbekalkan kualiti pemain yang dimiliki pasukan dan pengalaman jurulatih, K. Devan.
“Bukan saya sahaja, jauh di sudut hati pemain lain mereka juga sudah tentu mahu menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan.
“Sudah tentu apabila mengimbau 11 tahun lepas, memori pernah memenangi Piala Malaysia adalah sesuatu yang manis dan secara kebetulan, dah lama Negeri Sembilan tidak berada di pentas akhir.
“Segalanya tidak mustahil selepas kita sudah berjaya hingga ke tahap ini dan kami akan cuba mara sejauh yang mungkin ke peringkat seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette