PEKAN – “Soal mengosongkan kerusi ini, buat sementara ini masih belum timbul.”
Itu jawapan ringkas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan khabar angin sekiranya perlu mengosongkan kerusi itu jika beliau menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memberi laluan kepada bekas penyandangnya, Datuk Seri Najib Razak sekiranya bekas perdana menteri itu dibebaskan daripada penjara.
“Apa yang penting ialah amanah saya laksanakan dulu. Yang lain itu, saya fikir kurang penting untuk kita bicarakan setakat ini,” tambahnya.
Penyandang kerusi Dewan Undangan (DUN) Peramu Jaya itu berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk memenangi kerusi tersebut.
Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Laksamana Pertama (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusi dimenanginya itu untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.
Desas-desus mengatakan situasi sama mungkin berlaku di Pekan, ditambah pengumuman anak kepada Najib, Datuk Nizar bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya dan bukan di Parlimen Pekan.
Namun, Sh Mohmed Fuzi menjelaskan, beliau terpilih bertanding di kerusi legasi dua Perdana Menteri itu bersandarkan kepada pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
“Saya bersyukur pucuk pimpinan memilih saya bukan kerana saya istimewa, saya terbaik tapi apa yang penting saya pernah berkhidmat di sini. Dari segi rekodnya, hampir empat penggal iaitu hampir 20 tahun,” ulasnya.
Tambahnya, beliau juga pernah menjadi setiausaha sulit kanan ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.
Najib pertama kali bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil Pekan pada 1976 ketika berusia 23 tahun berikutan kematian bapanya dan bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein seterusnya mengekalkan kerusi itu dalam lapan pilihan raya lalu. – MalaysiaGazette