Ahmad Zahid Hamidi fitnah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan propaganda atau fitnah besar dilontarkan pihak tertentu kononnya pemimpin gabungan politik itu mahu mengecilkan kemenangan untuk membolehkannya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kelak.

Presiden UMNO itu berkata, semua parti termasuk yang baru bertanding mahu beroleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Fitnah terdesak ini datangnya pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar.

“Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti Amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, sebahagian pemimpin UMNO didakwa sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan BN pada PRU-15.

Dalam sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar malam kelmarin, Abdul Hadi memberitahu, maklumat diterimanya menyatakan, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada langkah untuk membentuk kerjasama dengan PH selepas PRU-15.

Amanat yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada Amanat Haji Hadi yang pernah mencetuskan gejala perpecahan dalam kalangan umat Islam yang menyokong UMNO dan Pas.

Sementara itu, Ahmad Zahid menambah, banyak faktor yang diambil kira agar resipi kejayaan benar-benar tercapai dalam usaha BN memulihkan serta mencapai kemenangan pada PRU15, 19 November ini.

Menurut beliau, kadangkala ia sukar difahami sesetengah pihak, kurang diyakini, malah ada memperlekehkan strategi tersebut.

“Memang kadangkala dalam perjuangan ke arah kemenangan besar tidak semua kita boleh dedahkan strategi dan senjata sulit kita,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor telah membuktikan keberkesanan strategi BN berkempen dan membuat perubahan dalam pemilihan calon misalnya, memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya.

Menurut beliau, sebelum kemenangan itu dicapai, tidak kurang pula yang memperlekehkannya.

“Dalam menggabung jalin segala strategi ke arah kemenangan ini, perjuangan ini merentasi gender dan etnik.

“Dalam isu gender memang kita sedaya upaya memenuhi agar pengisian tersebut memenuhi permintaan wanita,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, BN cuba sedaya upaya memenuhi permintaan tersebut namun terdapat bantahan daripada pihak tertentu.

“Misalnya ada calon penyandang calon lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan tersebut kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar Perlis.

“Kita juga meletakkan calon wanita di Tanjung Karang sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita,” ujarnya.

Beliau memberitahu, BN sedaya upaya meletakkan calon wanita sebanyak mungkin dan langkah itu turut dilakukan oleh parti-parti lain.

“Namun dalam memastikan kemenangan perjuangan parti merentasi agenda gender maknanya peranan gender penting tapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon juga merentasi faktor gender,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan Parlimen tidak melihat warna kulit, etnik dan gender etnik.

“Sesiapa sahaja dilihat boleh menang dan memiliki ciri WALI akan dipertaruhkan untuk bertanding.

“Semua calon terbaik namun ada nilai tambah yang perlu untuk penyegaran parti agar berdaya saing dan bercirikan politik generasi masa depan.

“Tidaklah kisah sama ada warna kucing tersebut, hitam atau putih atau warna apa sekali pun, atau gender apa sekali pun asalkan ia berkemampuan mengalahkan tikus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast