Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kohilan Pillay yakin beliau dapat mengembalikan kerusi Parlimen Batu ke tangan BN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden MIC itu berkata, apa yang penting ialah menambat hati dan beliau tidak gentar bilangan calon yang akan bertanding merebut kerusi tersebut.

“Untuk saya, tidak kisah sama ada 10 ke atau 12 penjuru, yang penting adalah memastikan misi BN menawan semula kerusi Batu terlaksana kali ini,” katanya ketika ditemui di Taman Bilion, Sentul, di sini, hari ini.

Menurut Kohilan, penyertaannya dalam PRU15 akan memberi peluang kepada pengundi untuk membuat penilaian dengan membandingkan calon yang bertanding dengan apa yang ditawarkan BN yang telah membangunkan negara ini lebih enam dekad.

Beliau yang merupakan anak jati dan telah berkecimpung dalam dunia politik lebih 30 tahun tidak akan menghadapi masalah mendekati pengundi di Parlimen Batu dan menguruskan permasalahan mereka.

Sementara itu, Kohilan memberitahu, beliau telah menyenaraikan beberapa masalah yang dihadapi penduduk setempat yang antara lain membabitkan jalan raya dan tempat letak kereta yang teratur.

Katanya, hanya BN mampu menyelesaikan masalah itu menerusi kerjasama penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast