SHAH ALAM – Tan Sri Noh Omar akur namanya tidak disenaraikan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Tanjung Karang, tetapi sedih dengan sikap berdiam diri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kedudukannya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu menjelaskan, selepas tidak dipanggil untuk hadir pada malam pengumuman calon Selasa lalu, beliau ada menghubungi Ahmad Zahid menerusi aplikasi Whatsapp.
Katanya, Presiden yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memintanya memberi tempoh dua hari untuk membuat keputusan mengenai statusnya sama ada dicalonkan atau sebaliknya.
“Tempoh dua itu berakhir malam ini dan sejak jam 8 pagi tadi saya menunggu jawapan daripada Presiden, tetapi sehingga malam ini, tidak ada apa-apa jawapan.
“Saya tanya Presiden melalui Whatsapp keputusannya, tetapi tidak berjawab. Saya tahu dia baca teks saya itu. Sampai sekarang saya menunggu.
“Bagaimanapun, petang tadi saya dapat tahu melalui media sosial, calon Tanjong Karang sudah ada,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat watikah kepada 21 daripada 22 calon Parlimen BN di sini, malam ini.
Ditanya kenapa 21, bukan 22 surat watikah, beliau berkata, sebab calon Tanjong Karang tidak diumumkan secara rasmi dan mungkin Presiden akan serah sendiri kepada calon itu, esok.
Katanya, sebagai Pengerusi Perhubungan negeri, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen dimenangi BN di Selangor, bagi menyumbangkan kepada pembentukan kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini, beliau menyasarkan BN Selangor menang tujuh kerusi, tetapi selepas pengumuman calon malam Selalu lalu dan pencalonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Isham Jalil serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding, jumlah itu bertambah kepada 10 kerusi.
Tengku Zafrul yang merupakan Menteri Kewangan akan bertanding di Kuala Selangor, manakala Isham di Shah Alam dan Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh.
Mengulas lanjut, Noh berkata, daripada 22 kerusi yang dipertandingkan di Selangor, 10 diperuntukan kepada BN, lapan MCA, tiga MIC dan satu KIMMA iaitu Friends of BN.
Sementara itu, beliau menjemput media hadir ke satu program yang diadakan di Tanjong Karang jam 4 petang esok.
Katanya, beliau akan bertemu dengan semua jentera dan ahli di bahagian itu untuk mengumumkan pendiriannya.
Ditanya apakah pendiriannya itu, Noh berkata, tunggu esok, di Tanjong Karang.
“Saya akan umumkan di hadapan ahli dan penyokong UMNO. Saya jemput media datang,” katanya.
Noh mengulangi sekali lagi bahawa beliau akur dengan keputusan parti, kerana sudah enam penggal bertanding dan menang serta memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan dan Kabinet.
“Mungkin saya paling lama bertanding dan saya juga satu-satunya dapat mengekalkan kerusi Parlimen Tanjong Karang, ketika calon lain kalah dalam PRU,” katanya. – MalaysiaGazette