TEMERLOH – Wakil rakyat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang diingatkan tidak duduk diam kerana banyak permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan.

Selain isu pembahagian tanah dan isu bekalan air, wakil rakyat yang diberi mandat kelak juga harus melihat semula permasalahan struktur jalan di kawasan Parlimen tersebut.

Pengerusi Persatuan Belia kampung Bolok Aktif, Husyin Abd Murat berkata: “Betul kerajaan negeri dan luluskan macam-macam sebelum ni. Lebih RM100 juta dah diluluskan. Kita tahu ia dalam proses. Tapi kita minta pemberi maklumat mereka ni tolong bagi input dengan betul. Barulah masalah boleh selesai,” katanya.

Husyin Abd Murat

Beliau menyatakan demikian selepas Program Solidariti Anak Lanchang Bersatu di Sungai Kepong, di sini, malam tadi.

Husyin yang kesal isu pembahagian tanah yang masih belum selesai itu memberitahu, terdapat anak muda yang telah berkahwin masih duduk dengan ibu bapa mereka.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, kira-kira 1,000 orang penduduk yang hadir terdiri daripada penyokong semua parti yang bakal bertanding di Lanchang.

Berlandaskan prinsip berkempen secara sihat, harmoni dan matang, katanya, penyokong parti politik yang berbeza di sini boleh duduk semeja kerana sifat kekeluargaan yang kuat.

“Kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding di DUN Lanchang ni, tak kisahlah parti apa pun, sila lah santuni semua rakyat secara adil dan bijaksana.

“Kita di Lanchang ni ramai yang dalam kalangan saudara mara. Kita tak mahu perpecahan berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Husyin meminta golongan muda keluar mengundi bagi menentukan masa depan negara.

“Keluarlah mengundi pada 19 November nanti. Tak kisahlah undi parti mana. Tapi keluarlah, tunjukkan semangat cinta pada negara. Itu paling penting,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast