kerusi Parlimen
Calon-calon yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU-15 iaitu (dari kiri) Jufitri Joha, S. Tinagara, Mohamad Hasan, Nazree Yunus dan Ramly Awalludin.

SEBANYAK empat kerusi Parlimen di Negeri Sembilan iaitu Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Port Dickson menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyandang kerusi Parlimen Seremban akan dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Wong Yin Ting serta Mohd. Fadli Che Me dari Perikatan Nasional (PN), Mohamad Jani Ismail dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Bebas, Mohd. Izzat Lesley.

Di Rembau, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi tersebut akan bersaing dengan Jufitri Joha (PH), Nazree Yunus (PN), Ramly Awalludin (Pejuang) dan S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith dari PN bakal dicabar oleh Datuk Adnan Abu Hassan (BN), Nor Azman Mohamad (PH), Kamarulzaman Kamdias (Pejuang) dan calon tunggal Parti Warisan yang bertanding di Negeri Sembilan iaitu Datuk Azman Idris.

Persaingan di Port Dickson memang amat menarik kerana dua individu yang popular iaitu Abdul Rani Kulup Abdullah yang lebih dikenali sebagai ‘Ayah Arka’ serta pelakon terkenal, Datuk Ahmad Idham Ahmad Nadzri bertanding di situ.

Abdul Rani bertanding sebagai calon Bebas manakala Ahmad Idham menyertai pilihan raya di bawah tiket Pejuang.

Calon-calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada PRU-15 iaitu (dari kiri) Aminuddin Harun, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Abdul Rani Kulup Abdullah, P. Kamalanathan dan Rafiei Mustapha.

Calon-calon lain ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menggalas misi mempertahankan penguasaan PH serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Datuk P. Kamalanathan (BN) dan Rafiei Mustapha (PN).

Sementara itu, pertembungan di Tampin tidak kurang sengitnya di mana calon Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa menggalas misi BN untuk menawan semula kerusi Parlimen tersebut daripada PH.

Calon PH yang akan mempertahankan kerusi Parlimen itu ialah Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil manakala calon-calon lain adalah Mejar (B) Abdul Halim Abu Bakar (PN) dan Zamani Ibrahim (Pejuang).

Penyandang kerusi Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN) bakal dicabar oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar (PH) serta Zaharuddin Baba Samion (PN) dan Ahmad Fakri Abu Samah (Pejuang).

Di Jempol, Tan Sri Khalid Yunus membuat penampilan semula dengan bertanding di kerusi Parlimen tersebut di bawah tiket Pejuang. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol dari 1986 hingga 2008 semasa bersama UMNO.

Ahli politik veteran berkenaan berdepan persaingan daripada Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli (BN), Norwani Ahmat (PH) dan Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh (PN).

Kerusi Parlimen Rasah menyaksikan penyandang dari PH, Cha Kee Chin dicabar oleh Ng Kian Nam (BN) dan Datuk Choong Vee Hing (PN).

Secara keseluruhan, BN, PH dan PN bertanding di semua lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, calon Bebas bertanding dua kerusi manakala Warisan dan PSM masing-masing satu kerusi.

Kerusi Parlimen Seremban mempunyai jumlah pengundi tertinggi iaitu 157,244 orang diikuti Rasah (155,896 pengundi), Rembau (133,555 pengundi), Port Dickson (104,450 pengundi), Jempol (95,561 pengundi), Tampin (81,099 pengundi) dan Jelebu (59,561 pengundi).

Undi merekalah yang akan menentukan siapakah dalam kalangan 35 calon yang bertanding bakal menjadi Ahli Parlimen selepas dua minggu nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast