SUNGAI BULOH – Walaupun teruja kerana pertama kali akan mengundi namun beberapa pengundi muda bertekad untuk memastikan undi yang mereka itu benar-benar untuk calon yang berwibawa dan berkemampuan meletakkan kestabilan negara pada tahap tertinggi.
Mereka mahu pemimpin yang dipilih mengutamakan rakyat dan menjadikan Malaysia jauh lebih baik daripada hari ini.
Bagi Nur Maizzah Mohd Nazam, 21, yang akan mengundi di Rompin, Pahang berkata, dia berbangga kerana akan turut sama menentukan masa depan negara pada 19 November ini.
“Saya excited sebenarnya sebab kita tahu banyak perkara yang berlaku di Malaysia sekarang ini. Jadi saya berharap undi saya nanti akan menentukan masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Nur Maizzah yang mengikuti perkembangan politik melalui media sosial dan sumber-sumber yang sahih berkata, dia turut bertanya pendapat keluarga kerana mak dan ayahnya arif tentang politik.
“Dari situ saya menilai dan berharap Malaysia akan bebas daripada rasuah, rakyat yang bersatu padu.
”Saya juga harap tiada lagi isu – isu perkauman kerana saya mahukan kehidupan harmoni dan hak-hak rakyat turut terbela,” katanya kepada MalaysiaGazette
Umar Abdul Aziz Ibrahim, 22, pelajar Fakulti Perubatan, UITM Sungai Buloh pula berkata, dia mahu mengundi calon yang boleh menjuarai isu-isu rakyat, mengukuhkan ekonomi dan kesejahteraan negara.
“Saya memang teruja untuk mengundi sebab ini kali pertama. Saya akan mengundi berdasarkan penilaian sendiri.
”Harapan saya, mana-mana wakil rakyat yang sudah diberi mandat tidak kira sebagai ahli Parlimen atau ADUN ke, buatlah kerja betul-betul untuk rakyat.
“Jangan hampakan undi kami, atau mengkhianati rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Alif Danial Kamil, 22,yang akan mengundi buat pertama kali di Parlimen Sepang pula akan memilih calon berdasarkan kriteria tertentu bagi memastikan undi yang diberinya berbaloi.
“Pada saya latar belakang calon sangat penting, kedua cara gerak kerjanya. Pada saya kriteria itu penting sebab kita mahu wakil rakyat yang boleh buat kerja, berbakti pada rakyat.
“Sebagai anak muda, saya juga mahu sebuah kerajaan yang stabil dapat memajukan negara ke paras lebih tinggi dan membela rakyat menjadi agenda mereka,” katanya yang turut gembira kerana berpeluang mengundi.
Anak jati Tawau Sabah, Mohammad Azhar Azumat, 21, pula berkata, dia tidak mahu pemimpin yang hanya kuat menabur janji manis semasa berkempen sebaliknya inginkan pemimpin yang turun padang dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan mereka.
“Sejujurnya kami ini first ime nak mengundi dan tanya pada semua pandangan, yelah kita tahu undi itu rahsiakan. tapi kalau nak memilih itu saya akan buat berdasarkan pemerhatian dan analisis.
“Saya akan tengok statistik dan berita siapa sebenarnya yang buat kerja dan turun padang, itulah yang kita pilih. Bukan tengok yang manis cakap dengan pelbagai janji palsu,” tambahnya.
Azhar turut menaruh harapan kerajaan yang bakal mendapat mandat pada 19 November ini dapat terus memajukan negara, menangani isu-isu kronik.
“Saya berharap rakyat yang perlu dibantu kekal menjadi keutamaan barisan pemimpin yang dipilih nanti,” katanya.
Untuk rekod, sehingga Januari 2022, seramai 4 juta anak muda di Malaysia telah didaftarkan secara automatik untuk mengundi namun masih ramai orang muda tidak mengetahui bahawa nama mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi bagi PRU15. – MalaysiaGazette