BERA – Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya mengawal dengan baik proses penamaan calon di seluruh negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini tidak ada berlaku insiden yang tidak diingini.
“Saya dapat laporan dari Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) keadaan sama seluruh negara tiada insiden yang tercetus atau timbul kekecohan pusat penamaan.
“Semuanya dalam keadaan tenang sama juga di Bera ini,” ujarnya dalam sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.
Beliau memaklumkan sebanyak 36, 935 anggota PDRM terlibat dalam proses penamaan calon PRU15 di seluruh negara hari ini. – MalaysiaGazette