KAMUNTING – Program walkabout calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Taiping dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting terganggu apabila berlaku kemalangan di Jalan Kamunting Lama, di sini.
Kemalangan berlaku di kawasan titik buta (blind spot) dengan dua motosikal bertembung tidak jauh dari pusat khidmat BN.
Ketika insiden, Neow Choo Seong dan Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie yang sedang beramah mesra dengan seorang penjual kuih berlari menuju ke kawasan kemalangan.
Salah seorang penunggang motosikal itu cedera di bahagian kaki dan dia dikejarkan ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.
Menurut penduduk setempat, kemalangan selalu berlaku di lokasi itu dan kebanyakannya melibatkan motosikal.
Malah seorang penduduk berkata, kemalangan berlaku hampir setiap minggu.
“Kita juga banyak kali buat aduan, harap selepas PRU, ada perubahan. Jika tidak memang ini nasib kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Ahmad Shalimin berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan perkara itu.
“Kita cakap tentang nyawa manusia, memang tidak boleh main-main. Akan saya usahakan sesuatu dalam perkara ini,” katanya yang akan bertanding di DUN Kamunting. – MalaysiaGazette