Razali (tengah) bersama ajk UMNO cawangan Matahari Naik mengumumkan keluar parti serta merta hari ini.

BAYAN LEPAS – Kira-kira 100 ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di sini mengumumkan keluar parti sekali gus membubarkan cawangan tersebut hari ini.

Ia susulan rata-rata mereka mendakwa kecewa dengan pimpinan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah yang dikatakan tidak mengambil peduli kewujudan cawangan serta ahli berkenaan sejak setahun lalu.

Ketua cawangannya, Razali Ismail mendakwa, tiada sebarang aktiviti dilakukan cawangan tersebut dengan bantuan atau kerjasama daripada ketua bahagian sebaliknya mereka terpaksa mengumpul wang sesama sendiri untuk membantu ahli yang ditimpa musibah.

Razali Ismail

Jelasnya, lebih mengecewakan apabila dia sendiri tidak menerima kunjungan bagi bertanyakan khabar walaupun hilang upaya kekal tangan kanan selepas terlibat dalam kemalangan tahun lepas.

“Ini keputusan sebulat suara daripada semua ahli, bukan keputusan peribadi saya.Mungkin ramai beranggapan ini drama pilihan raya tapi hakikat sebenar sudah lama kami pendam perasaan kecewa ini.

“Kami juga berikrar untuk menyokong calon bebas Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang dikenali kami sejak berpuluh tahun tambahan pula beliau anak jati Balik Pulau.

“Beliau (Sabaruddin) menampilkan kewibaan sebagai seorang pemimpin sebelum beliau umum untuk bertanding lagi, malah bagi kami beliau adalah insan yang sentiasa membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan,” katanya pada sidang media di sin, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Cawangan, Mohd Fua’ad Hazan dan Ahli Jawatan Kuasa, Hassan Mohamed serta beberapa AJK. – MalaysiaGazette