SIMPANG RENGGAM – Dr Maszlee Malik mahu meneruskan agenda mewujudkan hab pendidikan di Simpang Renggam sekiranya beliau diangkat semula sebagai ahli Parlimen di kawasan itu.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, hab itu kekal menjadi fokusnya demi kebajikan anak-anak muda di kawasan itu.
Dengan impian mahu melihat warga Simpang Renggam berpendidikan tinggi, Maszlee yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut berharap dapat membangunkan sebuah universiti ataupun sekurang-kurangnya sebuah politeknik di Simpang Renggam.
“Di kawasan Simpang Renggam ada double track station dan di Layang-Layang. Kita tengah cadang untuk buat cawangan universiti di situ, politeknik, kolej komuniti dan sekolah berasrama penuh.
‘Malangnya, setakat ini yang kita sempat buat, kita bawak OUM (Open Univesriti Malaysia) dan kita tubuhkan kolej komuniti.
“Tetapi, yang lain walaupun telah diluluskan di peringkat kementerian tetapi tukar kerajaan mereka stop (hentikan). Selepas ini kita kembali ke Putrajaya kita akan teruskan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Pasar Pagi Simpang Renggam di sini, hari ini.
Maszlee berkata, cadangan menjadikan Simpang Renggam hab pendidikan selari dengan usahanya meningkatkan latihan vokasional teknikal (TVET) yang telahpun dimulakan di Kementerian Pendidikan dahulu.
Ujarnya, semua iu boleh dilakukan di Simpang Renggam dan ia pernah dirancangkan di seluruh negara sebelum ini.
“Kalau di Simpang Renggam advantages segala kilang, segala industri dan apa yang ingin kita bawa masuk, dia yang mendapat manfaatnya daripada institusi latihan teknikal, vokasional yang menjadikan peluang kerja banyak.
“Kita tak mahu lambakan orang kita (warga Simpang Renggam) pergi ke seberang untuk bekerja…kalau boleh mana yang ada dekat sini mereka kerja dekat sini dan bangunkan Simpang Renggam,” tambahnya. – MalaysiaGazette