Calon Barisan Nasional (BN) N.023 Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd. Aziz beramah mesra bersama penduduk sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sekitar Warung Pian Kampung Manjoi, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 06 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Nasib peniaga kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi menjadi tumpuan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

Selain itu, Azizul Kama yang juga merupakan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh berkata, beliau akan memperjuangkan rintihan peniaga pasar malam yang mahu supaya urusan mendapatkan lesen perniagaan dipermudahkan.

“Dari segi sosio ekonomi banyak perkara yang perlu kita tingkatkan terutamanya perniaga kecil yang bertaburan dalam kawasan DUN Manjoi ini.

“Menjadi ahli majlis saya melihat dan dapat maklumat lebih tepat taburan peniaga kecil yang harus kita bantu dari masa ke semasa. Ini perkara yang saya akan ketengahkan dalam manifesto saya ini nanti insya-Allah.

“Saya akan bawa kepada PBT dan Majlis Bandaraya Ipoh. Pada satu ketika kita pernah beri on the spot tetapi itu hanya secara sementara. Mungkin kita perlu perluas kepada peniaga kecil terutama peniaga pasar malam,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) N.023 Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd. Aziz sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Taman Meru, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.

Azizul Kama menjadi Ahli Majlis Bandaraya Ipoh bermula Jun 2020 hingga sekarang.

Meneruskan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang masuk hari ketiga, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun itu berkata, selepas BN tewas di DUN tersebut pada 2018 beliau dan pemimpin lain terus memberi khidmat kepada masyarakat.

Pemilik ijazah sarjana ekonomi dari University Texas itu berkata, budaya turun dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat dilakukan walaupun selepas tidak menjadi kerajaan kerana itu adalah tugas yang perlu dilakukan oleh pemimpin.

Tambahan pula menurut Azizul Kama, pembangunan DUN Manjoi yang pesat sebahagiannya adalah daripada usaha yang dilakukan beliau ketika menjadi Pengarah Pembangunan Parlimen Tambun.

Dengan pengalaman yang ada, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Handzlah itu yakin penduduk DUN Manjoi akan memberikan beliau peluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Dalam konteks DUN Manjoi ini memang kali pertama bertanding dan dua rakan saya daripada parti sebelah sana sudah berpengalaman bertanding.

“Tetapi saya juga telah lama mengikuti politik arus perdana di Tambun. Ini bukan perkara asing dan sukar kepada saya.

“Semua akan berjalan lancar insya-Allah kerana politik BN di Tambun berteraskan perkhidmatan yang kita lakukan kepada masyarakat,” kata Aizul Kama.

Beliau ditemui ketika bertemu rakyat di sekitar pekan Meru, di sini, hari ini.

Azizul Kama akan berhadapan dengan penyandang kerusi Asmuni Awi dari Pakatan Harapan dan Hafez Sabri calon Perikatan Nasional.

DUN Manjoi mempunyai 86,266 pengundi berdaftar dengan 86,295 pengundi biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast