MARAN – Dakwaan pemimpin DAP, Young Syefura Othman kononnya ada mangsa banjir di Bentong tidak mendapat bantuan baik pulih rumah hanya mahu menanam kebencian kepada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui memang ada berlaku namun ia melibatkan soal teknikal dan tidak banyak.
“Dakwaan apa sahaja boleh dibuat. Memang ada satu dua berkaitan soal teknikal tapi bukan keseluruhan hanya satu atau dua sahaja.
“Jadi biasalah cari kesalahan orang ini, kita lihat daripada 100 buah rumah, 90 sudah siap. Mereka lihat sudut kecil dan highlight untuk tanam kebencian sebenarnya. Banyak sudah siap, satu dua tak nafikanlah,” katanya ketika ditemui di Chenor dekat sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Young Syefura atau dikenali Rara yang juga calon Pakatan Harapan di kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengatakan kerajaan Pahang gagal menunaikan janji kepada mangsa banjir hari ini.
Ditanya mengenai persiapan menghadapi banjir, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, persiapan awal sudah dibuat oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, persiapan seperti bot amfibia, pusat penempatan mangsa banjir lebih selesa sudah disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Persediaan untul latihan kepada penduduk setempat untuk bantu orang kampung sementara dapat bantuan bomba juga dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan paras air sungai di Pantai Timur menunjukkan peningkatan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Rara dakwa ada mangsa banjir belum terima bantuan baik pulih rumah