Dr. Ibrahim Ali berjanji akan memajukan Rantau Panjang jika diberi peluang pada PRU15 ini.

RANTAU PANJANG – Calon Parlimen Rantau Panjang, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali memberi jaminan akan memajukan kawasan itu sekiranya diberi peluang sebagai wakil rakyat pada 19 November ini.

Beliau yang bertanding atas tiket Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan salah satu komponen Gerakan Tanah Air (GTA), memberi jaminan itu berdasarkan pengalaman tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas dan Timbalan Menteri.

Katanya, sepanjang tempoh itu, beliau telah membawa banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat Kelantan khususnya.

“Antara projek terkenal hasil daya usaha saya ialah Jambatan Lemal-Salor, Jambatan Tendong, Bandar Baru Pasir Mas, Kolej Teknikal MARA dan banyak lagi.

“Saya tidak berniat hendak mengungkit apa yang telah saya usaha untuk membantu rakyat, cuma saya ingin meyakinkan ibu bapa, adik kakak semua jika diberi kepercayaan di Parlimen Rantau Panjang, saya percaya akan mampu membuat sumbangan besar di daerah ini,” katanya.

Katanya, Rantau Panjang jauh ketinggalan dari segi prasarana berbanding bandar lain yang bersempadan dengan Thailand.

“Malah, sedih melihat Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang yang sudah usang, ruang bangunan sempit, tidak mesra pengguna dan lokasinya juga tidak sesuai.

“Pembangunan di sini menjadi tumpuan saya jika diberi peluang pada 19 November ini, termasuk menstrukturkan semula sistem lalu lintas agar tidak berlaku kesesakan yang teruk seperti sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast