Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Berbanding pilihan raya- pilihan raya sebelum ini termasuk pilihan raya negeri (PRN) beberapa bulan lalu, jentera kempen Barisan Nasional (BN) dilihat kurang agresif bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Kempen secara rasmi masuk hari kedua namun di sesetengah kawasan bendera-bendera parti dan poster-poster calon masih tidak meriah seperti sebelumnya.

Jamaie Hamil

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jamaie Hamil berpendapat, situasi itu mungkin berlaku akibat protes oleh jentera parti yang kecewa apabila calon-calon pilihan mereka digugurkan.

“Ada yang protes secara terang-terangan sehingga menutup bilik gerakan dan sebagainya dan ada yang melakukan protes secara senyap-senyap.

“Ini kerana tokoh-tokoh yang tidak dicalonkan itu bukan calang-calang orang, ada yang merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri.

“Kelesuan ini bukan hanya berlaku kepada UMNO malah komponen BN yang lain seperti MCA dan MIC,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau yang turut mengakui kelesuan kempen pada kali ini menambah, situasi sedemikian tidak pernah berlaku ketika BN masih kuat.

Khamis lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai nama calon yang bakal bertanding pada PRU15.

Bagi memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan pembaharuan dalam parti itu, BN menampilkan banyak muka baharu dan terpaksa menggugurkan nama-nama besar antaranya penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan kelesuan itu berlaku kerana BN hanya memberi fokus untuk menarik perhatian pengundi di kawasan kelabu sahaja,  Jamaie berkata, itu bukan kebiasaan parti berkenaan.

Katanya, BN sentiasa melakukan kempen secara maksimum di setiap kawasan yang ditandinginya.

“Kelesuan itu bukan disebabkan BN hanya memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Contohnya, kurang beri perhatian kepada kawasan putih kerana mereka yakin akan menang dan menumpukan fokus penuh kepada kawasan kelabu untuk menarik pengundi atas pagar.

“Selalunya BN tidak seperti itu.

“Selain andaian berlaku protes dalaman, saya juga berpendapat, kos luar biasa untuk memasang bendera dan bahan-bahan kempen lain mungkin menjadi penyebab kelesuan itu,” ujarnya.

Menurut Jamaie, kelesuan kempen bukan hanya berlaku kepada BN sebaliknya turut dialami oleh parti-parti lain selain Pakatan Harapan.

Beliau menjangkakan, situasi itu akan berubah minggu depan atau beberapa hari sebelum tarikh pengundian pada 19 November ini.- MalaysiaGazette