Calon Barisan Nasional (BN) P.147 Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad menyantuni pesakit strok, Munah Sahir pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parit Sentang Batu, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2022.

PARIT SULONG – Lebih banyak lagi infrastruktur pendidikan akan dibina di kawasan Parlimen Parit Sulong sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat oleh pengundi pada 19 November ini.

Calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, semua itu merupakan perancangan yang terkandung dalam senarai untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Malah, tidak ketinggalan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) oleh pengusaha-pengusahanya turut menjadi salah satu perhatian yang akan dijadikan sebagai agenda nasional khas untuk warga Parit Sulong.

“Bila kita berjalan di kawasan, kita tengok industri IKS ini memang menjadi salah satu daripada industri yang banyak diceburi. Sebab itulah saya buat ini untuk menolong usahawan kecil-kecilan.

“Cabaran usahawan kecil-kecilan ini pula adalah pensijilan halal, maka saya buat presentation (pembentangan) kepada EPU (Unit Perancangan Ekonomi) di mana saya sendiri yang pergi bersama kumpulan mengetuai kawasan Parlimen Parit Sulong.

“Alhamdulillah, EPU meluluskan RM20 juta untuk membina hab halal dan itu tak masuk lagi macam-macam perkara lain. Banyak pembangunan yang kita bawa turun seperti kontena berniaga yang mengambil konsep kilang bateri di Johor Baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas mengadakan Program Ziarah Kasih, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini mendakwa, terdapat beberapa projek yang hendak dilaksanakan di Parlimen Parit Sulong selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dihentikan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika parti itu mengambil alih pentadbiran negara.

Bagaimanapun, ia dapat disambung semula selepas kerajaan berjaya diambil alih kembali oleh BN dengan yang terbaharu pembinaan kolej komuniti dengan proses pecah tanah dilakukan pada tahun lepas.

Ujarnya, kewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di kawasan berkenaan merupakan salah satu daripada matlamat yang telahpun tercapai dalam usaha mengadakan pusat pengajian tinggi di Parit Sulong.

“Kita ada MRSM, kita ada kolej komuniti dan InsyaAllah kalau tiada apa-apa aral melintang dalam perancangan ada lagi pembinaan pengajian tinggi di tempat berhampiran,” tambahnya.

Noraini berdepan saingan tiga penjuru pada PRU-15 dengan pencabar-pencabarnya adalah Mohd Faizal Dolah dari Pakatan Harapan dan Dr Abdul Karim Deraman yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast