TEMERLOH – Dahulu Pekan Sehari di sini pernah digelar sebagai Gesel Street.
Nama itu diberi kepada pekan sehari yang dipercayai sudah bermula secara kecil-kecilan sekitar 1800-an di tebing sungai Kuala Semantan.
Gesel bermakna pengunjung terlalu ramai sehingga bergesel sesama sendiri dan hingga kini ia masih begitu.
Apa yang menarik, Pekan Sehari Temerloh ini pernah diiktiraf sebagai pekan sehari yang terpanjang di Malaysia satu masa dahulu.
Ia terletak di persisiran Sungai Temerloh sepanjang lebih 2,000 meter melibatkan lebih 1,000 peniaga dan menjadi tumpuan masyarakat termasuk dari luar Pahang untuk mendapatkan pelbagai barangan.
Pekan Sehari Temerloh dipenuhi dengan jualan pelbagai jenis barangan termasuklah ikan-ikan sungai seperti patin, kerai dan lampam selain kuih muih tradisional, sayur-sayuran hasil petani desa yang dijual dengan harga berpatutan.
Pasar itu dibuka dari jam 7 pagi hingga 12 tengahari.
Peniaga dan pengunjung terdiri daripada segenap lapisan masyarakat yang mencerminkan keharmonian masyarakat Temerloh.